Abdul Rahman Tagih Kematangan Pemain

Kuala Terengganu – Kematangan pemain dalam setiap perlawanan amat ditagih oleh jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim dalam usaha melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Super dan kempen Piala FA musim ini.

 

Justeru, pengendali skuad penyu itu berharap anak buahnya dapat menonjolkan permainan yang konsisten serta menunjukkan kematangan pada perlawanan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malam esok.

 

Terengganu kini menghuni tangga keempat liga dengan enam mata dalam tiga perlawanan, hanya ketinggalan satu mata dengan pendahulu liga, Felda United manakala ATM masih belum mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan.

 

“Saya dapati semasa kempen Piala FA menentang Melaka, kita tidak menunjukkan kematangan dalam mengembangkan corak perlawanan selepas mendahului mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi pemanas badan skuad itu hari ini.

 

Menurutnya, anak buahnya telahpun diingatkan berulang kali akan hal itu dan sepatutnya mampu menguasai permainan sekali gus memadam semangat pasukan Melaka yang dibarisi pemain-pemain muda.

 

Abdul Rahman berharap anak buahnya perlu lebih matang dan dewasa semasa perlawanan menentang ATM sekaligus mencari kemenangan.

 

Katanya skuad penyu perlu meraih enam atau sekurang-kurangnya empat mata dalam dua perlawanan akan datang bagi merapatkan jurang dan berada di kedudukan selamat.

 

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan akan melihat perkembangan mereka untuk diturunkan semasa perlawanan menentang ATM.

 

“Bagaimanapun, kecederaan para pemain ini tidak membimbangkan dan berharap mereka akan dapat pulih dalam masa terdekat,” katanya.

 

Beliau juga yakin pasukan lawannya kendalian, B.Sathianathan itu akan bangkit pada bila-bila masa sahaja dalam saingan Liga Super.

 

“Mereka akan bangkit. Masalahnya bila kebangkitan pasukan ATM itu saya berharap mereka tidak bangkit semasa menentang Terengganu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.