21 Rumah Transit Mangsa Banjir Di Kuala Krai Siap

KUALA KRAI – Kerajaan negeri Kedah berjaya menyiapkan 21 daripada 44 buah rumah transit untuk mangsa banjir di Kampung Karangan di sini dalam tempoh sebulan manakala bakinya akan diselesaikan segera.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerja-kerja pembinaan rumah transit bagi 23 buah rumah lagi terpaksa ditangguhkan berikutan masalah hak pemilikan tanah dalam kalangan penerima bantuan tersebut.

 

“Untuk membina rumah transit ini tidak mengambil masa yang lama. Sebuah rumah hanya mengambil masa lima hari untuk disiapkan jika kita mempunyai lima orang tukang.

 

“Bagaimanapun, proses pembinaan rumah transit ini terpaksa ditangguh berikutan masalah hak milik tanah. Kita mesti patuhi prosedur dan kerja-kerja pembinaan akan disambung selepas masalah selesai,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Transit Kerajaan Kedah Kepada Mangsa-Mangsa Banjir Kampung Karangan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Abd. Rahman.

 

Pada majlis tersebut, Muhkriz turut menyampaikan sumbangan kewangan dan beg sekolah untuk murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian dan Karangan selain menyerahkan katil, tilam dan selimut kepada mangsa banjir.

 

Sementara itu, Mukhriz berkata, rumah transit yang bernilai lebih RM15,000 sebuah itu mempunyai reka bentuk dan ciri-ciri berbeza mengikut permintaan penerima.

 

“Rumah ini dibina untuk ke­se­lesaan penerimanya. Jadi, setiap rumah yang dibina ini mempunyai kelainan sedikit dari segi keluasan mahupun bilangan bilik,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.