Khai Bahar Tangguh Hasrat Berlakon

KUALA LUMPUR: Niat hendak berlakon ada, tapi syarikat pengurusan belum beri lampu hijau.

Begitulah situasi dialami penyanyi, Khai Bahar yang teringin beraksi di hadapan kamera demi mengembangkan bakat dimiliki.

Penyanyi lagu Luluh itu mengaku hatinya mula terbuka untuk mendekati bidang lakonan.

“Sebelum ini, saya pernah beritahu macam tak bersedia hendak jadi pelakon. Tapi sekarang, saya fikir, apa salahnya mencuba.

“Namun, selepas dikaji, semuanya bergantung kepada jadual nyanyian dan pihak pengurusan NAR Records. Setakat ini, belum ada keputusan muktamad.

“Mereka ada meminta saya tangguhkan dulu,” katanya kepada BH Online.

Reaksi Khai itu bagai memberi jawapan kepada spekulasi kononnya penyanyi, Siti Nordiana mahu memujuk Khai berlakon dalam drama adaptasi novel, Klik! Pengantin Musim Salju arahan Michael Ang.

Khai dikatakan mahu ditampilkan dalam watak cameo dalam drama dibintangi Siti Nordiana dan Alif Satar itu. Drama itu dijangka memulakan penggambaran pertengahan bulan ini.

Khai menambah, jika diberi keizinan, dia mahu saja berlakon pada waktu senggang.

“Saya tidaklah berbakat berlakon tapi boleh cabar diri. Saya boleh belajar dan asah bakat. Selama ini, saya hanya tahu menyanyi saja,” katanya.

Khai berkata, dia juga tertarik untuk berlakon dalam naskhah bercorak ketuhanan atau keagamaan.

Mengenai perancangan tahun 2018, Khai yang akan beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32, Ahad ini mendendangkan lagu Bayang memberitahu, dia akan muncul dengan single duet bersama Fatin Husna dan projek album mini enam lagu.

Selain itu, Khai mahu merealisasikan projek pelancaran single duet bersama Siti Nordiana.

“Lagu sudah dirakam, cuba judul belum diberi. Single itu berkonsepkan balada. Saya sangat teruja kerana sebelum ini hanya menyanyi dengan Siti Nordiana melalui aplikasi Smule,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.