Video: Bosan Jadi Cantik, Nur Fazura Mahu Jadi Perempuan Gila

KUALA LUMPUR — Sudah lebih 10 filem dibintangi Fazura namun pelakon jelita itu masih belum berpuas hati dan mengidamkan watak yang lebih mencabar dari kebiasaan.

 

Pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 34, mengakui tidak diberi peluang melakonkan watak berat, sebaliknya sering ditawar watak perempuan cantik dalam filem cinta.

 

“Watak idaman semestinya saya nak berlakon watak yang tak pernah saya lakukan, macam perempuan gila.

 

“Orang ingat saya hanya hendak berlakon watak-watak yang cantik sahaja. Saya cakap tidak, cuma saya tidak diberi ruang,” kata heroin filem “Pisau Cukur.”

 

“Mungkin orang nampak saya nak berlakon [watak ] itu saja, tapi mereka tak tahu sesuatu yang tak pernah buat lagi.

 

“Ada [minta watak berlainan] pada penerbit tapi mungkin mereka terkejutlah betul ke saya nak,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Universal Music selama tiga tahun di sini baru-baru ini.

 

Pertama kali melakonkan aksi dalam “J Revolusi,” Fazura berharap filem tersebut mampu memuaskan hati peminat.

 

“Saya berharap sangat ia dapat memberikan kepercayaan untuk orang Malaysia terhadap filem.

 

“Ini filem aksi pertama saya. Selama ini pun berlakon filem semuanya filem cinta. Jadi ini sesuatu yang berlainan. Tengoklah nanti lakonan baik ke tidak,” katanya.

 

Memegang watak Dian, gadis diculik pengganas, pemilik fesyen jenama Fazbulous itu mengakui teruja melakonkan lagak ngeri sendiri.

 

“Sebenarnya saya sudah keluar daripada zon selesa. Tahun lepas banyak juga saya sudah buat. Seperti berlakon cerita aksi ini juga benda yang saya belum pernah buat sebelum ini.

 

“Pengalaman yang menarik apabila dapat pegang pistol yang betul. Buat lagak ngeri sendiri. Saya tidak cedera. Saya cederakan orang sebelum take ada.

 

“Belum mula take lagi saya sudah pukul orang itu dah. Tak boleh nak fikir positif sebenarnya. Apa jadi kalau terpatah kaki ke patah tangan ke,” kata anak kelahiran Pahang.

 

Filem arahan Zulkarnain Azhar bakal ditayangkan 2 Mac, berkisarkan penculikan adik kepada ahli Unit Tindakan Khas (UTK), Jay Zulkarnain, lakonan Zul Ariffin. – MalayMail

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.