Teguran ‘Pedas’ Roslin Buat BAM

 

BEKAS pemain badminton perseora­ngan lelaki negara, Roslin Hashim menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar memandang serius peranan kelab-kelab badminton profesional yang terdapat di negara ini bagi membantu melahirkan lebih ramai pemain berkaliber.

 

Masa depan skuad badminton negara, ter­utamanya dalam acara perseorangan lelaki dilihat berada dalam ke­adaan yang cukup membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memberi gambaran untuk menggantung raket.

 

Roslin yang merupakan jurulatih di Akademi Badminton Roslin Hashim menegaskan, BAM juga perlu fokus kepada pemain-pemain muda yang bakatnya dicungkil daripada kelab badminton profesional ke­rana beranggapan me­reka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei suatu hari nanti.

 

Sebelum ini, Chong Wei menggesa BAM agar me­ningkatkan kualiti pemain perseorangan lelaki negara secara menyeluruh, berbanding memberi tumpuan untuk mencari penggantinya.

 

“Pada pandangan saya, Chong Wei meminta BAM untuk fokus kepada pemain-pemain sedia ada kerana mungkin dia sudah kecewa memandangkan masih tidak nampak calon-calon yang mampu mengisi tempatnya pada ketika ini.

 

“Selain itu, saya fikir BAM juga nampak seperti tidak bersungguh-sungguh dalam merealisasikan hasrat tersebut. Sebenarnya, ia perlu bermula daripada peringkat akar umbi, iaitu pemain-pemain cilik yang mungkin sedang beraksi bersama kelab-kelab badminton di luar (profesional).

 

“BAM sebagai badan induk sukan badminton negara perlulah membantu kelab-kelab di luar, janganlah terlalu ego. Mungkin kenyataan saya ini nampak kasar, namun inilah kenyataannya,” kata Roslin.

 

Ketiadaan Chong Wei dalam skuad negara pada masa hadapan pastinya memberi tamparan hebat buat BAM, memandangkan pemain perseorangan yang lain seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Chong Yee Han dan Lim Chin Wing masih jauh ketinggalan di belakang pemain No. 1 dunia itu.

 

Roslin yang merupakan bekas pemain No. 1­ dunia itu juga turut mempersoalkan tindakan BAM memansuhkan sirkit kebangsaan yang dilihat ‘membunuh’ perkemba­ngan pemain-pemain negara yang tidak berada di bawah naungan badan induk tersebut.

 

“Sudahlah tiada bantuan diberikan kepada kelab-kelab luar, sekarang mereka hanya anjurkan satu kejohanan kebangsaan sahaja. Mengapa mereka bertindak demikian? Bagi saya, inilah pentas buat pemain-pemain luar pamerkan bakat serta kemampuan mereka.

 

“Jika mereka benar-benar serius mahu terus me­lahirkan pemain-pemain Malaysia yang bertaraf dunia, sepatutnya BAM perlu memperban­yakkan kejohanan kerana ia bakal mengehadkan serta menyekat perkembangan­ pemain itu sendiri,” te­gasnya lagi.

 

Dalam perkembangan sama, pemenang pingat emas Sukan SEA 2001 itu juga meminta pemain-pemain perseorangan lelaki sedia ada mengambil kata-kata Chong Wei sebagai cabaran, sekali gus mampu memberi suntikan motivasi buat mereka dalam meningkatkan prestasi masing-masing.

 

“Apa yang diutarakan oleh Chong Wei itu, biarlah BAM yang buat kerja sama ada serius atau tidak mencari penggantinya. Buat pemain-pemain lain, anggaplah ia sebagai cabaran dan buktikan mereka mampu untuk berada pada tahap tersebut,” jelasnya.

 

Masa depan Chong Wei dalam arena badminton bakal ditentukan pada pencapaiannya ketika menyertai Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, 21 hingga 27 Ogos depan. – Kosmo

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.