Salji Runtuh: 79 Mati Di Afghanistan, Pakistan

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 79 orang dilaporkan maut akibat runtuhan salji di Afghanistan dan Pakistan, kata pegawai rasmi kerajaan. Gabenor sebuah wilayah di timur Afghanistan, Hafiz Abdul Qayum memaklumkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh sementara berpuluh-puluh mangsa lain masih hilang selepas satu runtuhan salji menimbus sebuah perkampungan di wilayah Nuristan, semalam.

 

“Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak,” katanya sambil menambah banyak rumah runtuh yang mengorbankan lima orang selain mengakibatkan banyak keluarga tiada tempat perlindungan. Qayum berkata, operasi menyelamat tempatan diteruskan di lokasi sambil menambah angka korban mungkin meningkat.

 

Di wilayah utara Afghanistan, Badakhshan pula sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dengan 17 yang lain cedera juga akibat runtuhan salji, bumbung rumah runtuh dan kemalangan jalan raya, sejak dua hari lalu, kata seorang jurucakap kerajaan, Naweed Frotan.

 

Kerajaan masih berdepan kesukaran untuk pergi ke sekurang-kurangnya 12 daerah di wilayah Badakhshan yang terputus hubungan sepenuhnya, kata Qayum. Sementara itu, salji tebal turut menyelubungi ibu negara Afghanistan, Kabul, semalam memaksa kerajaan menutup pejabat di seluruh bandar itu. – Agensi/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.