Ribuan Hadir Kebumi Jenazah Tiga Mangsa Tembak Di Masjid

LONDON — Ribuan orang hadir di majlis pengebumian jenazah tiga daripada enam jemaah yang ditembak mati ketika bersolat di masjid Bandar Quebec, Kanada.

 

Memulakan upacara itu di Montreal, Hassan Guilet mengecam “kata-kata beracun” di Quebec sehingga ada yang sanggup menyerang umat Islam, lapor portal The Independent.

 

“Masjid ini akan terus dibuka dan anak-anak kami akan terus belajar dan mengaji al-Quran,” kata imam itu di majlis tersebut, Jumaat lalu, seperti dipetik CBC.

 

“Anak-anak kami akan terus menjadi penduduk yang baik di negara ini, sama seperti anda. Kami telah memilih masyarakat ini dan kami meminta masyarakat ini juga memilih dan menerima kami.”

 

Azzeddine Soufiane, 57, Mamadou Tanou Barry, 42, dan Ibrahima Barry, 39, terbunuh dalam serangan yang disifatkan Perdana Menteri Justin Trudeau sebagai “tindakan pengganas.”

 

Upacara pengebumian tiga lagi mangsa Abdelkrim Hassane, 41, Khaled Belkacemi, 60, dan Aboubaker Thabti, 44, dilakukan Khamis. Jenazah mereka dihantar pulang ke kampung di Tunisia dan Algeria.

 

Seramai 19 orang lagi mengalami kecederaan, termasuk dua yang parah, dalam serangan malam Ahad minggu lalu.

 

Mahasiswa yang melakukan serangan itu Alexandre Bissonnette, 27, dikenakan enam pertuduhan membunuh tahap pertama, dan sembilan lagi cubaan bunuh selepas tembakan itu.

 

Beliau digambarkan sebagai seorang yang simpati pada aliran sayap kanan, menyokong dasar antipendatang dan pro-Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.