Rancangan Tukar Kerajaan Gagal

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan beliau untuk mengambil alih kerajaan Malaysia pada 16 September 2008 tidak menjadi kenyataan disebabkan cadangan dikemukakan untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat tidak dilaksanakan.

 

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Anwar berkata, beliau menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat itu bagi membuat undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

 
“Saya cakap kita ada jumlah yang mencukupi. Saya menulis surat kepada Speaker untuk mengadakan sidang khas.

 

“Surat itu tidak dijawab dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga menolak diadakan sidang khas parlimen,” katanya .

 

Anwar bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau sebenarnya hanya mengada-adakan rancangan 16 September itu.

 

“Oleh kerana gagal mengadakan sidang parlimen, proses ‘menukar kerajaan’ terbantut,” katanya.

 

Tambah Anwar, kesemua ahli parlimen BN itu sebaliknya diterbangkan dalam pesawat khas untuk ke Taiwan atas ‘lawatan sambil belajar’.

 

Sementara itu, Anwar menafikan beliau mempunyai rancangan untuk menggulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 1998.

 

Melalui soal balas itu, Muhammad Shafee mencadangkan beberapa saksi dalam kes berkenaan menyatakan beliau mempunyai konspirasi dari pejabatnya untuk menjatuhkan Mahathir sebelum dipecat.

 

“Dia (saksi) hanya membawa cerita. Saya tidak mempunyai asas untuk mempercayai tohmahan yang diberikan selepas 15 atau 16 tahun kemudian,” katanya.

 

Perbicaraan di hadapan Hakim Azizul Azmi Adnan bersambung Jumaat.

 

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, Khairy yang dinamakan selaku defendan, mengeluarkan perkataan fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di web.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.