PPBM Persoal Kekuatan Gagasan Sejahtera Diketuai PAS

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempersoalkan kekuatan Gagasan Sejahtera selepas PAS mencadangkan parti itu dan PKR meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai blok ketiga berkenaan.

 

Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor dalam pada itu turut membuat perbandingan rekod PH yang berjaya menawan Selangor dan Pulau Pinang, berbanding PAS yang hanya berkuasa di Kelantan.

 

“PKR terbukti kuat di Selangor, dan DAP kuat di Pulau Pinang. PAS hanya terbukti kuat di Kelantan sahaja. Dua tempat bergabung, bagaimana hendak kata lebih lemah berbanding satu tempat sahaja?

 

“PH ada dua parti yang sudah berjaya menguasai dua negeri. Manakala Gagasan Sejahtera hanya berjaya menguasai satu negeri,” katanya kepada Antarapos.

 

Respon itu menyusul selepas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mencadangkan PKR dan PPBM meninggalkan PH untuk memastikan kekuatan pembangkang kukuh demi menghadapi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

 

Beliau mengajak PKR dan PPBM menyertai blok ketiga yang ditunjanginya bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA).

 

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menambah ajakan itu disuarakan kepada kesemua parti-parti pembangkang dan NGO, kecuali DAP dan Amanah.

 

Ditanya ‘minat’ PPBM ke arah saranan Mohd Amar itu, Kamaruddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

 

“Bukan soal minat tapi soal hendak betulkan kenyataan sahaja,” ujarnya ringkas.

 

Selepas mengatur mesyuarat rahsia Rabu lalu, PAS dan PPBM sehingga kini gagal memberi kata putus terhadap rundingan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya kelak.

 

PAS bagaimanapun akan mengadakan mesyuarat tertinggi jawatankuasanya sekitar bulan ini bagi mencapai sebarang pendirian rasmi berhubung kerjasama dua parti itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.