Percepatkan Kerjasama Umno-PAS, Kata AMANAH

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) cawangan Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ‘mengalu-ngalukan’ kerjasama antara Umno dan PAS peringkat negeri Kedah.

 

“Ini kerana telah sampai masanya untuk rakyat menilai dan membuat keputusan untuk menyokong siapa setelah sekian lama kerjasama yang tidak rasmi diadakan.

 

“Kekeliruan kepada rakyat mengenai bentuk kerjasama ini harus dirungkai segera dengan menjadikannya rasmi antara Umno dan PAS Kedah dalam pilihan raya umum 14 akan datang,” jelas beliau dalam kenyataan.

 

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, partinya bersedia menjalin kerjasama dengan PAS di peringkat negeri demi kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu.

 

Beliau berkata, bagaimanapun, kerjasama itu mesti bermula di peringkat pusat terlebih dahulu.

 

“Kerjasama yang terjalin seperti dalam misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ yang berlepas baru-baru ini melambangkan penyatuan ummah di Malaysia berikutan terdapat wakil Umno dan PAS dalam misi berkenaan,” kata Ahmad Bashah.

 

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, pada masa yang sama, pihaknya juga mahu peruntukan bajet wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan mendapat peruntukan yang sama.

 

“Ini kerana peruntukan itu sebenarnya akan dibelanjakan kepada rakyat yang memilih mereka di kawasan masing-masing.

 

“Dan ini bersesuaian dengan konsep keadilan yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan,” katanya lagi.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.