PAS Mahu Pecahkan Pembangkang‎ Demi BN, Kata Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad mendakwa PAS sedang mencuba untuk memecah-belahkan parti pembangkang apabila mencadangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR perlu meninggalkan Pakatan Harapan.

 

Menurutnya, cadangan yang disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah tidak akan mengukuhkan parti pembangkang sebaliknya hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

 

“PAS hanya memainkan peranan untuk memecah belahkan pembangkang, ini amat penting bagi BN, supaya tidak berlaku situasi di mana BN dicabar oleh pembangkang yang bersatu,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di pejabatnya, di sini.

 

Nik Amar semalam dilaporkan berkata PAS yang memiliki formula tersendiri berpendirian kekuatan gabungan pembangkang akan meningkat sekali ganda jika PKR dan PPBM meninggalkan Pakatan Harapan dan menyertai blok ketiga yang dianggotai parti Islam itu.

 

“Saya lebih suka mana-mana pembangkang kecuali DAP dan Amanah untuk lebih serius jalin kerjasama dalam Gagasan Sejahtera yang turut disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan‎), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti kecil lain,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

 

Mengulas lanjut Khalid berkata, gabungan pembangkang tanpa DAP jelas akan menjadikan parti pembangkang tidak sempurna kerana hanya akan tertumpu kepada parti yang dominan untuk kaum Melayu sahaja.

 

“Saya rasa rakyat Malaysia akan melihat ia satu gabungan tidak sempurna kerana terdiri daripada parti Melayu walaupun PKR ada ahli bukan Melayu tetapi ia tetap menyebabkan rakyat juga berpecah belah bukan alternatif yang sempurna untuk gantikan BN,” tambahnya.

 

Sementara itu, tambah Khalid PAS yang sering lantang menyuarakan pendiriannya agar parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengannya mengikuti prinsipnya hanya akan menyukarkan PKR dan PPBM kelak terutama dalam isu menetapkan Perdana Menteri.

 

“Kalau dilihat kenyataan sebelum itu kalau nak bekerjasama dengan PAS mesti terima kepimpinan PAS.

 

“Kalau begitu mereka PPBM dan PKR perlu terima (Presiden PAS) Abdul Hadi (Awang) sebagai calon Perdana Menteri, itu juga masalah besar buat dua parti itu kerana syarat PAS sebelum itu adalah biar PAS memimpin,” ujarnya lagi. – BeritaDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.