KAFA Pula Disiasat SPRM

 

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung isu tajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) terhadap pasukan The Red Warriors (TRW) bagi musim 2016.

 

Perkara itu disahkan sumber dalaman persatuan itu dimana SPRM sudah memulakan siasatan ke atas badan induk itu semalam, petik Kosmo

 

Menurutnya, beberapa kakitangan KAFA telah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa terhadap tajaan daripada kedua-dua agensi berkenaan ke atas pasukan Kelantan musim lalu.

 

“Seramai tiga anggota SPRM yang terdiri daripada seorang Timbalan Pengarah dan dua pegawai telah datang ke pejabat KAFA untuk mengambil keterangan,” kata sumber tersebut.

 

Sumber KAFA memberitahu, ketiga-tiga anggota SPRM itu adalah daripada ibu pejabat agensi berkenaan di Putrajaya.

 

Katanya, agensi penguat kuasa itu telah mengambil beberapa bahan bukti antaranya invois, resit, penyata akaun untuk dianalisis bagi membantu siasatan.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Nor (gambar kecil) ketika dihubungi menjelaskan, beliau tidak dimaklumkan berhubung siasatan tersebut.

 

Katanya, KAFA sentiasa terbuka, malah sedia memberi kerjasama bagi membantu siasatan itu melibatkan tajaan untuk skuad TRW musim lalu.

 

SPRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu tersebut minggu lalu selepas dakwaan salah guna kuasa melibatkan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa yang didakwa menggunakan tabung pendidikan daripada Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja pasukan Kelantan pada musim 2016.

 

Sehubungan dakwaan itu, Ahli Majlis Mara yang diketuai Datuk Dr. Yusof Yacob telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu berkenaan dan ahli majlis sebulat suara membuat keputusan menasihatkan Annuar bercuti sementara bagi memudahkan proses penyiasatan dalaman.

 

Pada Jumaat lalu, Annuar turut diambil keterangan oleh pihak SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan terhadap isu tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.