Harga Minyak Meningkat Bimbang Sekatan AS Terhadap Iran

SINGAPURA – Harga minyak meningkat hari ini berikutan kebimbangan sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran akan menjejaskan bekalan minyak mentah, tetapi pasaran dikekang oleh petunjuk selanjutnya terhadap peningkatan pengeluaran minyak AS.

 

Ketegangan antara Tehran dan Washington meningkat sejak ujian peluru berpandu balistik Iran baru-baru ini yang mencetuskan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan terhadap individu dan entiti dari negara itu.

 

Kontrak niaga hadapan Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, didagangkan pada paras AS$56.86 setong pada 0037 GMT, naik lima 5 cents daripada penutup sebelumnya.

 

Kontrak niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) naik lima sen kepada AS$53.88 setong. Peniaga berkata, ketegangan antara Tehran dan AS meningkatkan kebimbangan bahawa sekatan AS akan diperketatkan lagi memberi kesan eksport minyak Iran, yang mana dibenarkan untuk kembali normal tahun lalu.

 

“Langkah yang diambil oleh AS untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Iran berikutan ujian peluru berpandu balistik meningkatkan risiko ketegangan yang menjejaskan bekalan,” kata bank ANZ hari ini.

 

“Ia diimbangi sedikit oleh perangkaan yang menunjukkan satu lagi kenaikan kukuh dalam aktiviti pelantar di Amerika Syarikat,” katanya.

 

Syarikat tenaga AS menambah jumlah pelantar minyak untuk minggu ke-13 dalam 14 minggu lalu, melanjutkan pemulihan sembilan bulan kerana pengeluar mengambil kesempatan daripada harga minyak mentah yang kebanyakannya berada di paras lebih AS$50 setong sejak negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bersetuju untuk mengurangkan bekalan pada akhir November lalu. – Reuters/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.