Ben Nathan Bersih Dadah

KUALA LUMPUR – Laporan pakar perubatan mengesahkan penyanyi Ben Nathan, 54, yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Rabu lalu, menunjukkan keadaannya bergelandangan sejak 20 tahun lalu tiada kaitan dengan pengambilan dadah.

 

Adiknya, P Vasanthi, 43, mengakui lega dengan perkembangan terbaharu itu.

 

Katanya, ia sekali gus melenyapkan rasa sangsi segelintir pihak yang membuat tuduhan tanpa usul periksa, petik BH.

 

“Sudah lama gangguan emosi berlaku terhadap Ben, malah dulu kami kerap membawanya berubat hingga ke Thailand. Sama ada perubatan tradisional, mahu pun merujukkan dirinya ke HKL, semuanya kami sudah usahakan suatu masa lalu.

 

“Jadi apabila segelintir pihak membuat andaian melulu tanpa memikirkan perasaan keluarga, sudah tentu kami sedih. Terbukti abang saya tidak terbabit dengan gejala dadah.

 

“Apa pun kami tidak salahkan mereka yang berfikiran sebegitu. Mereka tidak tahu situasi sebenar, apatah lagi masalah tekanan yang dihadapi Ben sudah bertahun-tahun membelenggu dirinya,” katanya.

 

Terdahulu, keadaan penyanyi itu sangat menyedihkan apabila meraih perhatian ramai selepas video yang menunjukkan penyanyi itu dalam keadaan tidak terurus dirakam dan dikongsi seorang peminat di laman sosial, minggu lalu.

 

Rabu lalu, Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan polis membawanya ke HKL bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta mental.

 

Ben, yang hidup bergelandangan di sekitar ibu negara sejak 24 tahun lalu, kini ditempatkan sementara di Wad Psikiatrik HKL bagi pemantauan, selain menunggu hasil laporan sebelum JKM menentukan status hak penjagaan sama ada diserah kepada jabatan terbabit atau pihak keluarga.

 

Dalam pada itu dia mengakui abangnya pernah memaklumkan keluarga mengenai peralihan ke agama Islam.

 

Malah, keluarganya sudah mengetahui perkara itu Sejak dari dahulu dan tiada masalah menerimanya.

 

“Kami tahu dia memeluk Islam. Ibu saya pun dimaklumkan mengenainya dulu. Bagi kami, perkara itu tiada masalah atau jadi isu. Cuma mungkin dalam kad pengenalannya dulu ia tidak sempat ditukar,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.