Beckham Berang E-mel Digodam

LONDON – Lagenda bola sepak, David Beckham semalam berang selepas menjadi sasaran penggodam yang membocorkan beberapa e-mel mendakwa beliau menggunakan kerja amal sebagai sebahagian kempen untuk memperoleh anugerah kebesaran.

 

Bekas kapten England itu juga dituduh melabel jawatankuasa kehormat sebagai tidak tahu bersyukur kerana gagal memberinya anugerah kebesaran ‘Sir’ selain enggan menyumbang untuk badan amal tersebut.

 

Satu siri e-mel didedahkan oleh laman web Football Leaks kelmarin.

 

E-mel tersebut turut mendakwa, Beckham yang merupakan duta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menuntut £6,685 (RM37,000) daripada badan amal itu bagi menyediakan penerbangan kelas perniagaan untuk dirinya ketika menghadiri satu acara di Asia walaupun penaja telah menyediakan jet peribadi.

 

Football Leaks juga mendakwa, Beckham memberi reaksi marah apabila rakan dan pegawai perhubu–ngan awamnya, Simon Oliveira mencadangkan beliau menyumbangkan AS$1 juta (RM4.4 juta) untuk hadiah pada acara makan malam UNICEF di Shanghai.

 

Beckham didakwa menjawab: “Saya tidak mahu memberikan wang peribadi saya untuk tujuan ini. Untuk melepas wang sebanyak ini ke dalam dana itu seperti meletakkan wang saya sendiri. Jika tiada dana, wang ini akan digunakan untuk saya. Wang ini milik saya.”

 

Bagaimanapun, beberapa wakil Beckham menafikan tuduhan itu dan menyatakan bahawa e-mel tersebut ‘digodam dan dipalsukan’ daripada akaun peribadi.

 

Seorang jurucakap UNICEF pula berkata, pihaknya sedar akan laporan tersebut dan akan melakukan siasatan. – Agensi/Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.