Annuar Musa Sah Tanding Presiden FAM

BIARPUN masih berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan namun itu tidak menghalang Tan Sri Annuar Musa untuk menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu menjadi individu pertama menyerahkan borang pengesahan pencalonan untuk merebut jawatan nombor satu itu kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini.

 
“Alhamdulillah….serah borang menerima pencalonan jawatan Presiden FAM. Calon pertama menerima pencalonan…atas semangat kesukanan dan sayangkan sukan bola sepak,” katanya ringkas menerusi entri berkenaan.

 

Selain Annuar yang mendapat satu pencalonan, turut dicalonkan adalah Tan Sri Aseh Che Mat (tujuh), Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (enam), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (empat), sebaik tempoh akhir pencalonan ditutup, 23 Januari lalu.

 

Ini merupakan kali kedua tokoh bola sepak Kelantan berusia 61 tahun itu menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi badan induk bola sepak kebangsaan selepas kali pertama memenangi jawatan Timbalan Presiden, pada tahun 2010.

 

Bagaimanapun, jodoh Annuar tidak panjang apabila menjadi mangsa Artikel 88 Statut FAM, digantung selama 30 bulan susulan mengeluarkan kenyataan berbaur kritikan terhadap prestasi skuad kebangsaan, pada 13 Mac 2012.

 

Akibatnya, beliau hilang semua jawatan yang disandangnya iaitu Timbalan Presiden FAM, Pengerusi Malaysia Super League (MSL), Pengerusi Bola Sepak wanita kebangsaan, Timbalan Pengerusi skuad bola sepak negara dan Presiden Kafa.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.