Dua Suspek Pecah Rumah Cuba Serang Polis Cedera Terkena Tembakan

DUNGUN – Dua suspek kes pecah rumah cedera terkena tembakan ketika cuba menyerang pihak polis dalam satu kejadian di kampung Batu Tiong, di sini, awal pagi tadi.

 

Salah seorang suspek cedera patah tulang di bahagian kaki, manakala seorang lagi cedera ringan di bahagian punggung akibat terkena geselan peluru yang dilepaskan.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, tiga lelaki didapati  memecah masuk ke dalam sebuah rumah penduduk untuk mencuri tetapi kegiatan haram itu dapat dihidu pihak polis.

 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan memandangkan ketiga-tiga suspek cuba menyerang dan tembakan terkena kaki salah seorang suspek, manakala peluru dilepaskan turut bergesel di bahagian punggung seorang lagi daripada mereka.

 

“Satu das tembakan dilepaskan dan didapati telah terkena di bahagian kaki salah seorang suspek berusia 18 tahun.  Tembakan yang dilepaskan turut berselisih dengan seorang lagi suspek yang juga berusia 18 tahun tetapi dia sempat melarikan diri.

 

“Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditangkap kira-kira jam 6.15 pagi iaitu sekitar 500 meter dari lokasi kejadian. Salah seorang rakan mereka berjaya meloloskan diri dan terlepas dari ditangkap,” katanya.

 

Katanya, kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan dan suspek yang terkena tembakan di kaki kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

 

“Gerakan memburu salah seorang lagi suspek yang masih bebas sedang dijalankan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.