Anak Teruskan Legasi Azmil Mustapha

KUALA LUMPUR – Anak lelaki tunggal pelakon era 1980-an, Azmil Mustapha, Mohd Bazli Zhafri, 22, mungkin akan meneruskan legasi bapanya apabila menyuarakan minat untuk mewarnai industri seni.

 

Melihat pada penampilan, Mohd Bazli sememangnya mempunyai pakej untuk bergelar anak seni jika bakatnya digilap.

 

Dengan paras rupa menarik dan ketinggian, Mohd Bazli tidak menolak peluang dan rezeki jika ada yang mahu melamarnya sebagai pelakon.

 

“Mungkin sebab daripada ayah sendiri, jadi saya terikut-ikut mahu jadi sepertinya. Selain seni, saya juga minat kerja di bahagian produksi atau belakang tabir.

 

“Dulu pun saya pernah ikut ayah ke merata tempat untuk menerbitkan beberapa dokumentari,” katanya yang mengkagumi bakat ayahnya sendiri.

 

“Pastinya lakonan ayah dalam filem Ali Setan antara yang saya minati. Selain itu, saya suka tengok lakonannya dalam filem Puteri Gunung Ledang walaupun tak banyak babak membabitkannya,” katanya yang kini berehat sementara menjadi jurulatih kecergasan berikutan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

 

Ketika ini, beberapa produksi sudah menunjukkan minat untuk melihat bakat Mohd Bazli, termasuklah pemilik Zeel Production, Fadzil Teh.

 

Dalam pertemuan BH Online dengan Azmil, baru-baru ini, Azmil memberitahu tidak pernah menghalang minat anak untuk menceburi dunia seni biarpun beliau sendiri sudah berhijrah dan meninggalkan dunia seni.

 

Malah, Azmil memberikan sokongan penuh jika anaknya mahu mencuba nasib dalam bidang itu.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.