STING Bukit Aman Bongkar 2 Makmal Dadah Di Pulau Pinang

Georgetown – Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Bukit Aman membongkar dua makmal dadah dalam serbuan di pangsapuri di Sungai Pinang dan Jalan Gangsa, di sini hari ini.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya mengucapkan tahniah kepada pasukan STING yang berjaya membongkar makmal dadah itu dan merampas 103 kilogram dadah jenis heroin.

 

“Syabas STING@PDRMsia baru saja berjaya bongkar makmal dadah, tangkap empat orang di Sungai Pinang, Penang, rampas 103kg heroin dan bahan proses heroin,” kata Khalid hari ini.

 

Sementara itu, sumber polis berkata dalam serbuan pertama pada pukul 2 petang itu pasukan STING yang dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang menyerbu satu unit pangsapuri di Sungai Pinang dan menahan empat individu.

 

Beliau berkata susulan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, pasukan berkenaan menyerbu sebuah lagi unit kediaman di pangsapuri sama yang dijadikan makmal dadah.

 

“Rumah pertama yang diserbu adalah lokasi mereka tinggal dan kediaman kedua dijadikan tempat memproses dadah. Pasukan berkenaan berjaya merampas sejumlah dadah jenis heroin di situ,” katanya.

 

Barang-barang lain yang turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai diguna untuk memproses dadah termasuk serbuk kimia kafein, pencair, klorofom, cecair kimia, asid sulfamik, ketuhar gelombang mikro, plat panas elektrik dan bahan tampal.

 

Sumber polis itu berkata polis turut menyerbu sebuah lagi unit pangsapuri di Jalan Gangsa yang juga dijadikan makmal memproses dadah oleh kumpulan sama.

 

“Polis turut merampas dadah dan pelbagai barang memproses dadah di rumah berkenaan. Dipercayai tiga buah rumah itu disewa oleh sindiket memproses dadah berkenaan sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

 

Sidang akhbar mengenai pembongkaran makmal dadah itu dijangka diadakan esok. n- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.