Sindiket Pas Lawatan Sosial: SPRM Buru Lebih 50 Individu

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­ngenal pasti lebih 50 individu yang didapati terlibat dalam kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan sindiket menjual Pas Lawatan Sosial (PLS) kepada warga asing.

 

Berikutan itu, SPRM akan me­lancarkan operasi besar-besaran bagi menahan individu terlibat dalam tempoh terdekat yang kebanyakannya kakitangan kerajaan.

 

Menurut sumber, turut diburu pemegang PLS yang disyaki memberi rasuah bagi mendapat pas berkenaan.

 

“Sebagaimana kes siasatan lain, SPRM memerlukan bukti dan kete­rangan bagi melengkapkan siasatan. Perkara ini masih dalam penelitian SPRM dan maklumat mengenai perkara tersebut sama sekali tidak boleh didedahkan supaya tidak mengganggu prosedur siasatan.

 

“SPRM akan mengambil pelbagai pendekatan untuk membanteras rasuah dan tidak akan bertolak ansur dengan apa jua bentuk rasuah termasuk perbuatan meminta dan memberi rasuah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Utusan Malaysia hari ini melaporkan SPRM menahan tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah di Sabah dipercayai menjual ratusan PLS sehingga RM11,000 setiap satu kepada warga Pakistan.

 

Laporan tersebut antara lain turut mendedahkan SPRM mengesan modus operandi pegawai terlibat dipercayai termasuklah menerima sijil nikah palsu daripada ‘bakal pembeli’ warga Pakistan terbabit, bagi tujuan kelulusan PLS Jangka Panjang.

 

Sijil nikah merupakan bukti pen­ting dikehendaki pihak imigresen daripada pemohon PLS Jangka Panjang iaitu di bawah kategori pemohon adalah suami atau isteri kepada warganegara Malaysia, bagi membuktikan perkahwinan itu wujud. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.