PAS Berhak Bimbang Dengan Pemerintahan Bukan Islam

SHAH ALAM: Kepimpinan PAS berhak menyatakan kebimbanganya terhadap sebarang usaha untuk menggantikan pemerintah beragama Islam sebagai pemimpin dari kalangan bukan Islam terutamanya di Sabah dan Sarawak.

 

Malah, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, kebimbangan PAS itu ada rasionalnya.

 

“Ini hak PAS untuk menyuarakan (kebimbangannya) dalam sebuah negara Islam. Jadi, sudah tentulah bagi PAS dia tidak mahu menteri besar atau ketua menteri diketuai oleh bukan Islam dan ini sudah menjadi tradisi di Malaysia dan juga di Sabah, Sarawak.

 

“Ada logiknya (kebimbangan PAS itu) dan pandangan PAS itu perlu diambil kira kerana itulah yang terbaik difikirkan oleh mereka. Maknanya mereka mahu pemerintahan yang berasaskan Islam sebab Malaysia ini begitulah coraknya dimana setiap ketua menteri atau menteri besarnya di terajui oleh mereka yang beragama Islam,” katanya kepada Antarapos.

 

Kata Mohd Fuad lagi, tidak ada keperluan untuk merubah keadaan yang sedia ada kerana ia sudah diterima oleh keseluruhan masyarakat di negara ini.

 

“Mungkin mereka hendak keseragaman dan juga tradisi yang telah dipetik daripada Perlembagaan atau Perlembagaan di setiap negeri kerana tiap-tiap negeri ada dia punya tatacara tersendiri dalam melantik ketua menteri atau pucuk pimpinan setiap negeri.

 

“Jadi, apa perlunya kita hendak merubah satu peraturan yang baik, yang sudah diterima masyarakat, satu peraturan yang telah diamalkan di negara kita,” tegasnya.

 

Dewan Ulama PAS sebelum ini menegaskan, sebarang usaha untuk menggantikan pemerintah beragama Islam dengan pemimpin dari agama lain adalah bercanggah dengan prinsip siasah Islam.

 

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Pas telah membuktikan komitmennya untuk mematuhi prinsip tersebut ketika menolak cadangan untuk mencalonkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian sebagai Ketua Menteri di negeri itu pada 2011.

 

Menurut beliau, umat Islam tidak sewajarnya menerima cada­ngan yang membolehkan pemimpin ber­agama lain menjadi pemerintah mereka.

 

“Jangan pula kata, tak apalah siapa pun jadi ketua tak kisah. Pemikiran sebegitu bercanggah dengan siasah Islam,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan menempelak keghairahan segelintir pemimpin parti berkenaan yang sanggup meninggalkan agenda perjuangan Islam kerana terlalu taksub dengan matlamat menawan Putrajaya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.