Krisis Dalaman PR: Pengikut Rasa Tak Selesa

KUALA TERENGGANU – Krisis yang melanda PR di peringkat pusat boleh mendatangkan kesan sehingga ke peringkat bawah.

 

Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing ketika mengulas mengenai kemelut Pas dan DAP tidak menolak keadaan itu mendatangkan rasa kurang selesa di kalangan pengikut kedua-dua parti itu termasuk di negeri ini untuk berhubung antara satu sama lain.

 

Menurutnya, hubungan Pas dan DAP negeri juga agak perlahan walaupun kedua-duanya tiada masalah antara satu sama lain.

 

“Keadaan ini boleh dilihat apabila program Pas, dia tidak jemput kita, mungkin dia rasa tidak selesa. Kalau orang tidak jemput, saya pun tidak pergi tetapi biasanya saya akan hadir walaupun tidak dijemput. Tapi keadaan sekarang membuatkan saya juga rasa segan.

 

“Keadaan ini berlaku secara automatik dan spontan. Kalau Pusat nampak mesra, yang di bawah akan ikut. Kalau berlaku krisis hubungan antara dua parti, peringkat bawah juga terjejas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

 

Chai Hing berkata, keadaan sedemikian tidak berlaku sebelum PRU13 yang memperlihatkan hubungan ketiga-tiganya mesra.

 

Jelasnya, jika pusat tidak mengambil inisiatif untuk membaik pulih keadaan itu, ia sudah tentu memberi implikasi yang besar.

 

Sehubungan itu, beliau berharap hubungan ketiga-tiga parti terutama Pas dan DAP diselesaikan sebaik mungkin.

 

Beliau berkata, ia hanya boleh diselesaikan melalui pertemuan secara berdepan dan bukan melalui media.

 

“Masalah tidak boleh selesai melalui media kerana ia boleh menyebabkan perkara kecil menjadi besar.

 

“Perkara ini patut diselesaikan di meja bulat,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.