Kes Ustaz Kazim: Maap Tak Akan Tolak Ansur

IPOH – Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (Maap) tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang menentang agama Islam.

 

Ketegasan itu disuarakan Ketua Penerangannya, Datuk Halim Ramli yang menyifatkan laporan polis penceramah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias oleh individu bukan Islam sebagai perkauman.

 

Menurutnya, isu berkenaan tidak sewajarnya ditimbulkan semula kerana ia berlaku enam tahun lalu.

 

Katanya, tidak timbul isu mengaibkan kaum tertentu di negara ini kerana kandungan ceramah disampaikan Ustaz Kazim itu menekankan isu pasukan keselamatan, Ketuanan Melayu serta Kesultanan Melayu.

 

“Isu ini sudah lama. Lagipun pada masa itu pasukan keselamatan kita dilabel dengan pelbagai gelaran tidak sepatutnya selain turut diperkatakan mengenai isu ketuanan Melayu diganggu dan isu Kesultanan Melayu dipertikai.

 

“Pada ketika itu, tiada satu pun tokoh politik menjawab isu-isu berkenaan kecuali Ustaz Kazim, tambahan pula ceramahnya bertajuk ‘Daulat Tuanku’,” katanya ketika berucap pada himpunan 22 NGO di dataran Pusat Pendidikan Al Barakah, kelmarin.

 

Hadir sama, wakil Maap, Pembela, Pertubuhan Kebajikan Melayu Bersatu Perak, Maap Zon Utara Perak, Persatuan Kebajikan Persaudaraan Islam Perak, ATF Perak, Papim Perak, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Perkasa Perak, Pertubuhan Angkatan Muda Insaniah Malaysia, MJM Perak, Galas, Pekida Malaysia, Pertubuhan Laduni, Pesaka Gayung Malaysia, Putera Perak, Pondok Al-Jaafar Perak, Perkasa Manjung, Warga Melayu Malaysia Sungai Petani, Sirah Malaysia Perak, Paduka Perak dan CFFGM.

 

Halim berkata, pihaknya dan semua NGO di negeri ini akan terus bersama dengan Ustaz Kazim dan tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang menentang Islam di negara ini.

 

“Kami dari Maap serta NGO lain tidak akan bertolak ansur dengan musuh-musuh yang mahu menentang agama Islam. Itu niat kita.

 

“Biarpun dipertikaikan nanti kerana kedatangan kami bukannya berjubah atau berserban, tetapi dengan nawaitu untuk untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.