Kes Saman Syamsul, Yusof Haslam, Skop Production, Dibicara Oktober

KUALA LUMPUR: Kes saman seorang penulis novel terhadap pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof dan dua yang lain berhubung dakwaan menciplak kandungan novel bertajuk Aku Bohsia bagi menerbitkan filem, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini selama lima hari bermula 19 Oktober ini.

 

Saman tersebut difailkan oleh Elias Idris, 63, pada 24 November tahun lalu dengan mendakwa Syamsul dan bapanya, Datuk Yusof Haslam serta syarikat Skop Production Sdn.

 

Bhd. telah menghasilkan, menerbitkan dan mengeluarkan filem berkenaan tanpa pengetahuan, kelulusan dan kebenarannya sebagai penulis dan pemilik hak cipta terpelihara novel berkenaan.

 

Peguam M. Kumar yang mewakili Elias memberitahu pemberita, Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes itu di kamar hakim hari ini.

 

Menurut beliau, mahkamah turut menetapkan 19 Mac ini bagi pengurusan kes saman itu.

 

Elias selaku plaintif menamakan Syamsul atau nama sebenar­nya, Mohd. Syamsul Md. Yusof, 31, sebagai defendan pertama manakala Yusof atau nama sebenarnya Md. Yusof Md. Aslam, 61, sebagai penerbit filem berkenaan, defendan kedua.

 

Dia turut menamakan syarikat Skop Production selaku pengeluar filem itu dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. yang kini dikenali sebagai Primeworks Studios Sdn. Bhd., defendan ketiga.

 

Tarikh perbicaraan ditetapkan selepas pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu gagal mencapai penyelesaian ketika proses mediasi untuk menyelesaikan kes pada 27 Januari lalu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.