Kes Rogol Tidak Diletakkan Bawah Hukum Hudud

Kuala Lumpur – Terdapat beberapa pindaan yang sudah dilakukan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Negeri Kelantan terutama yang melibatkan kes jenayah rogol, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Khalid Abdul Samad.

 

“Setelah perbincangan dilakukan antara kerajaan negeri Kelantan dan PAS Pusat, kes rogol tidak akan diletakkan di bawah hukum Hudud, tetapi akan diletakkan di bawah undang-undang sivil,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam.

 

Jelasnya, ini kerana melalui Hudud, kes rogol melibatkan serangan seksual secara paksa. Manakala kes zina memerlukan empat orang saksi.

 

“Kes rogol diletakkan di bawah undang-undang sivil setelah mengambil pandangan beberapa ulama kerana rogol bukannya di bawah hukum Hudud tetapi di bawah ta’zir (pesalah itu dimalukan) ,” ujar Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

 

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membawa rang undang-undang persendirian dalam persidangan biasa di Parlimen Mac ini.

 

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar PAS membentangkan cadangan pindaan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Rakyat (PR) Ahad ini, sebelum dibawa ke Parlimen.

 

Ketua pembangkang itu berkata, ia masa terbaik untuk membentangkan enakmen yang akan membolehkan pelaksanaan hukum Hudud di negeri itu, supaya pemimpin DAP dan PKR boleh turut memahami dan menilai terlebih dulu cadangan undang-undang Islam itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.