Kenyataan Nik Abduh Bukan Pendirian Parti – Mat Sabu

Kuala Lumpur – Sebarang kenyataan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak diputuskan oleh mesyuarat PAS Pusat bukan pendirian rasmi parti, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

 

Namun Mohamad menegaskan PAS tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas anak Mursyidul Am PAS itu ekoran kenyataannya yang bercanggah dengan pendirian parti.

 

“Pandangan beliau itu bukan pendirian parti. Keputusan parti hanya melalui mesyuarat. Kalau ada pandangan lebih awal, atau sebelum mesyuarat, maka kita tidak anggap ia dari parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini, hari ini.

 

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Nik Abduh kini merupakan ‘Mursyidul AM PAS’ yang baharu menggantikan bapanya.

 

“Itu hanya spekulasi,” tegas beliau.

 

Nik Abduh kebelakangan ini sering mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan pendirian PAS terutama yang ada hubung kait dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

 

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli parlimen Pasir Mas itu dilihat banyak pihak sebagai mewakili pandangan golongan ulama dalam PAS. – Awani

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.