Isteri Presiden Indonesia Lawat Pusat Anak Permata Negara

PUTRAJAYA: Isteri Presiden Indonesia Joko Widodo, Iriana, melawat Pusat Anak Permata Negara Putrajaya, di sini hari ini.

 

Ketibaan beliau pada jam 10 pagi disambut isteri perdana menteri yang juga penaung Permata Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

 

Selain diberikan taklimat mengenai operasi pusat berkenaan, Iriana turut dibawa melawat persekitaran pusat itu serta menyaksikan persembahan tarian oleh sebahagian kanak-kanak di pusat jagaan berkenaan.

 

Terdapat 60 kanak-kanak berumur dalam lingkungan satu hingga empat tahun di pusat jagaan itu dengan lapan tenaga pengajar.

 

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Permata Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saidatu Akhmad, berkata semasa lawatan itu Iriana memberikan respons positif terhadap pogram Permata dan menyatakan minat terhadap inisiatif itu.

 

“Beliau berkata program Permata ini sesuatu yang boleh dicontohi dan kami di Permata sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin melaksanakan program seperti ini,” kata Saidatu.

 

Menurutnya, terdapat 700 pusat jagaan yang menggunakan program Anak Permata Negara di seluruh negara melibatkan kira-kira 20,000 kanak-kanak.

 

Iriana dan Rosmah meluangkan masa kira-kira sejam di pusat itu sebelum menghadiri sesi minum pagi di kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana.

 

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Ia adalah lawatan sulung pemimpin itu ke negara ini selepas dilantik sebagai presiden Indonesia pada 20 Okt tahun lepas. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.