Hanya Satu Saluran Ambil Amah Indonesia

Putrajaya – Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan hanya satu saluran untuk pengambilan pembantu rumah dari negara itu, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya, ketika bekerja di negara ini.

 

Ia juga bertujuan menjaga kepentingan pembantu rumah Indonesia, selain membolehkan mereka mendapat latihan secukupnya.

 

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Kompleks Perdana Putra, hari ini.

 

Najib menjelaskan, kedua-dua negara akan memastikan hanya satu saluran rasmi digunakan rakyat Malaysia bagi mengambil pembantu rumah dari Indonesia.

 

“Kita dapati, ketika ini, cuma 4,000 lebih saja pembantu rumah yang masuk melalui saluran rasmi, manakala 105,000 menggunakan saluran tidak rasmi,” katanya.

 

Menurutnya, kedua-dua negara mendapati, saluran rasmi yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang ditandatangani di Bali, sebelum ini, juga tidak digunakan sepenuhnya.

 

Sementara itu, Najib mengumumkan kedua-dua negara bersetuju meneruskan inisiatif zon waktu seragam ASEAN yang telah dibincangkan pada Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN, di Kota Kinabalu, pada 27 dan 28 Januari lalu.

 

Jelasnya, matlamat mewujudkan zon masa seragam ASEAN adalah untuk memudahkan perniagaan dan intergrasi negara-negara ASEAN.

 

Selain itu, zon waktu seragam akan membolehkan lebih banyak masa bagi tujuan komunikasi; menyelaras aktiviti pasaran saham; meningkatkan sistem operasi penerbangan dan menambah baik rangkaian perniagaan serta perbankan serantau.

 

Dalam pada itu, Najib berkata, walaupun sasaran dagangan Indonesia-Malaysia berjumlah US$30 bilion mungkin tidak dapat dicapai, namun kedua-dua negara sepakat untuk meningkatkan tahap perdagangan dua hala.

 

“Jangkaan itu dibuat berdasakan anggaran jumlah dagangan pada tahun lalu yang mencecah US$18.25 bilion, jadi sasaran tidak dapat dicapai, tetapi kami akan terus meningkatkan hubungan perdagangan,” katanya.

 

Tambahnya, pelaburan Malaysia di Indonesia berjumlah US$3.97 bilion dari 2008 hingga September 2014, manakala pelaburan Indonesia di Malaysia mencecah US$1.89 bilion, dalam tempoh sama.

 

Susulan lawatan tiga hari Jokowi ke Malaysia, Proton Holdings Bhd dijadualkan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan kongsi Indonesia, bagi projek Kereta Asean, pada petang ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.