FAM Beri Surat Tunjuk Sebab Kepada JDT

KUALA LUMPUR – Seperti diramalkan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal mendapat surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan insiden kain rentang gambar manusia berkepala anjing ketika perlawanan sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang Sabtu lalu.

 

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Afandi Hamzah, PBNJ diberi masa tujuh hari untuk menjawab surat berkenaan dan kes itu bakal dibincangkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya jawapan yang diberikan oleh pihak JDT menuntut pembelaan.

 

“Dalam mesyuarat sebentar tadi, pihak JKPT mencapai keputusan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada JDT dan mereka diberi masa selama tujuh hari untuk menjawab.

 

“Surat itu berkaitan dengan isu kain rentang yang terdapat gambar anjing semasa perlawanan sumbangsih di Stadium Larkin, Sabtu lalu dan apa jua tindakan akan dilihat selepas itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

 

Bagi mengelakkan insiden sama berulang dalam perlawanan akan datang, Afandi berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk mengeluarkan surat pekeliling sekali lagi kepada semua pasukan yang bertanding bagi mengingatkan mereka mengenai Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap penggunaan sepanduk yang dibenarkan.

 

“Pihak JKPT mengambil serius akan hal ini dan berpendapat kami perlu mengeluarkan satu lagi surat pekeliling kepada semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia berkenaan penggunaan ayat dalam sepanduk semasa perlawanan berlangsung.

 

“SOP ini perlu dipatuhi oleh semua pasukan bagi mengelakkan ayat atau gambar yang dianggap sensitif serta boleh mengundang provokasi pihak lawan demi mengelak insiden yang berlaku di Larkin pada Sabtu lalu berulang,” katanya.

 

Sabtu lalu, sekumpulan penyokong JDT membentangkan tifo gergasi yang memaparkan gambar anjing sebagai tanda melepaskan kekecewaan terhadap FAM sewaktu perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.

 

Insiden itu mendapat perhatian meluas banyak peminat dan pemerhati yang menyifatkan perbuatan itu tidak menghormati tatasusila dan adab orang Malaysia.

 

Dalam kes berlainan, Afandi mengesahkan dua pemain Harimau Muda, D. Saarvindran dan Mohd. Ferris Danial tidak boleh beraksi se­lagi status mereka masih tergantung namun mereka mendapat pengecualian istimewa untuk didaftarkan ketika liga masih berlangsung.

 

“Buat masa ini, kami di JKPT masih belum boleh mendaftarkan nama kedua-dua pemain ini kerana belum ada jalan penyelesaian antara pihak yang berkaitan dalam kes ini.

 

“Walaupun saya dengar akan di­selesaikan secara baik antara Pahang dan Selangor dalam kes Saarvindran manakala Ferris pula melibatkan Felda United dan Kelantan, kami akan tunggu sehingga mendapat kata rasmi daripada pihak yang terlibat.

 

“Tiada masalah sekiranya nama mereka didaftarkan semasa liga masih berlangsung sekali pun, tidak perlu tunggu hingga pintu perpindahan kali kedua pada April kerana pihak JKPT memberikan kelonggaran buat pemain Harimau Muda dalam hal ini,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.