DAP Dakwa Ada Kumpulan Dalam PAS Mahu Sabotaj Pakatan

KUALA LUMPUR: Beberapa kumpulan dalam PAS sedang berusaha mensabotaj Pakatan Rakyat dengan kedegilan mereka untuk menyerahkan previu cadangan hudud Kelantan kepada sekutunya DAP serta PKR di mesyuarat pimpinan pada Ahad ini, kata Anthony Loke hari ini.

 

Setiausaha organisasi nasional DAP itu menekankan mesyuarat pimpinan PR itu adalah masa terbaik bagi PAS menerangkan pindaan kepada undang-undang hudud Kelantan dan bil ahli persendirian mengenai isu sama bakal dibentang di Parlimen.

 

“Ini jelas satu percubaan, satu agenda, untuk menggugat Pakatan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS.

 

“Pendirian kita jelas. Hudud bukan sebahagian daripada agenda Pakatan dan sebarang percubaan untuk memperkenalkannya adalah berlawanan dengan agenda itu,” kata Loke kepada Malay Mail Online.

 

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata, PKR dan DAP lambat laun akan dapat melihat dokumen mengenai pindaan dicadangkan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993, tetapi selepas ia diluluskan di sidang DUN pada Mac depan.

 

“Keadaan banjir masih teruk di Kelantan, banyak kerja, pembinaan perlu dilakukan, kediaman orang telah musnah dan mereka mendesak perkara ini?

 

“Ia (bil hudud) sudah pasti akan dibangkitkan pada mesyuarat Ahad. Saya akan berada di sana,” tambah Loke.

 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai pakatan tiga parti itu menuntut PAS supaya menjelaskan usaha terbarunya untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan dan berkata, masa terbaik untuk melakukannya ialah ketika mesyuarat majlis pimpinan PR Ahad ini.

 

Katanya, PKR dan DAP masih belum dapat meneliti sama ada rang undang-undang persendirian ataupun pindaan kepada Kanun Jenaya Syariah II 1993 yang diluluskan oleh DUN Kelantan lebih 20 tahun lalu.

 

Ahmad berkata, enakmen Kelantan itu tidak berubah pada asasnya dan hanya membabitkan perubahan kecil.

 

Pindaan itu, jika diluluskan oleh kerajaan Kelantan di sidang DUNnya pada 16 Mac, akan diselitkan dalam dua rang undang-undang persendirian bakal dibentangkan di Parlimen pada masa sama.

 

Rabu lalu, Bernama melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebagai berkata, kerajaan negeri bercadang membentangkan rang undang-undang persendirian di sidang Parlimen akan datang pada Mac bagi membolehkan hudud dikuatkuasa di Kelantan.

 

Menurut Mohd Amar, antara perubahan dilakukan pada rang undang-undang itu akan meningkatkan penalty bagi kesalahan sejajar dengan kehendak al-Quran dan Sunnah.

 

DAP dan PAS sudah bertelingkang di atas rancangan parti Islam itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan dan terbaru cadangan DAP supaya PR menerima pendekatan Pulau Pinang melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan atau PBT.

 

PAS bagaimanapun menuduh DAP bertindak bersendirian dalam hal ini, sebagai membalas serangan DAP terhadap pelaksanaan hudud. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.