Boikot: Pengguna Perlu Berterima Kasih Kepada Ismail Sabri

Pengguna perlu berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keberaniannya mencadangkan supaya memboikot peniaga yang enggan menurunkan harga.

 

Wakil masyarakat Siam di Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong berkata saranan menteri itu yang hanya menyasarkan peniaga degil bertujuan menyedarkan pengguna supaya bersatu menggunakan hak mereka untuk menekan peniaga supaya menurunkan harga barang berikutan penurunan harga bahan api.

 

“Memandangkan harga petrol dan diesel kini semakin turun, maka sudah sewajarnya peniaga, terutamanya pembekal dan pemborong prihatin dengan kepentingan pengguna dan orang ramai, bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.

 

Beliau berkata, sekiranya peniaga sebelum ini menggunakan alasan kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barangan, mereka kini tidak mempunyai alasan untuk tidak menurunkan harga barangan berikutan penurunan harga minyak.

 

Boon Som yang juga Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia percaya rakyat tanpa mengira kaum mahu melihat harga barangan diturunkan setimpal dengan penurunan besar harga minyak.

 

Kenyataan Ismail Sabri supaya peniaga degil diboikot katanya, mencerminkan keprihatinannya lebih-lebih beliau merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang bertanggungjawab terhadap harga barangan.

 

Boon Som berkata Ismail Sabri mempunyai asas untuk memperjuangkan hak pengguna selain hanya berniat membela hak mereka dan tidak berniat menyinggung perasaan kaum tertentu kerana golongan peniaga negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

 

“Beliau menjadi bahan kecaman kerana mungkin mereka tidak menyangka ada pemimpin yang berani bersuara dan mengeluarkan saranan sedemikian yang mungkin terasa pedas dan pedih bagi golongan peniaga yang enggan menurunkan harga barang sekalipun harga minyak sudah turun di pasaran,” katanya.

 

Kerana memahami konteks situasi dan seruan Ismail Sabri itu, katanya, adalah tidak menghairankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan menterinya itu.

 

“Sehubungan itu, saya berharap orang ramai juga akan menjadi pengguna bijak seperti disarankan Perdana Menteri dengan cara menggunakan kuasa mereka untuk mendorong peniaga meletakkan harga yang berpatutan,” katanya.

 

Boon Som juga mencadangkan pihak berkuasa, persatuan pengguna serta pemantau harga barang terus memantau harga barang di pasaran secara menyeluruh meliputi semua peringkat dan jenis perniagaan, termasuk kedai makan, restoran nasi kandar dan seumpamanya.- TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.