Azmin Tidak Pernah Hiraukan Permintaan Penduduk – Pengerusi BBDJ

Kuala Lumpur – “Saya perlu memberi tekanan dalam bentuk perundangan kerana dia (Azmin) tidak pernah menghiraukan permintaan penduduk untuk bertemu,” kata Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad yang kecewa dan marah terhadap Kerajaan Selangor.

 

Sehubungan itu tegasnya, mereka melantik peguam untuk membantu mereka dalam mengendalikan kes bantahan mereka terhadap pembangunan projek berkenaan.

 

Beliau berkata, tindakan mendapatkan perkhidmatan guaman itu adalah bagi memastikan bantahan mereka dapat diambil tindakan oleh kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali.

 

“Saya telah melantik dua orang peguam iaitu Hasnal Marican dan Adzly Ab Manaf daripada dua firma guaman berlainan di ibu kota untuk mengendalikan kes ini,” katanya, lapor Bernama.

 

Projek Datum Jelatek yang bermula pada 2008 di atas tapak seluas 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek, melibatkan pembangunan empat blok bangunan kondominium mewah, hotel, pejabat dan pusat beli-belah.

 

Salleh berkata, beberapa kali pihaknya menghantar surat untuk bertemu dengan Azmin bagi membincangkan perkara itu, namun sehingga kini tidak mendapat respons yang menggalakkan daripada Menteri Besar itu.

 

Sementara itu pagi tadi, kira-kira 40 peniaga Pasar Keramat mengadakan perhimpunan aman membantah arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mereka berpindah ke Keramat Mall.

 

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKM) Shoid Chee mendakwa ramai daripada 91 orang peniaga yang telah berpindah ke Keramat Mall telah gulung tikar kerana kurangnya sambutan daripada pelanggan, lokasi tidak strategik dan tempat parkir kereta berbayar.

 

“Sekarang pula, sejumlah 144 peniaga yang menjual barangan basah diarahkan ke penempatan sementara di kawasan parkir kereta di sini, sementara bakinya yang menjual barangan kering akan berpindah di bahagian atas,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan bantahan secara aman di kawasan parkir kereta berhadapan Stesen LRT Damai.

 

“Kita mahu Pasar Keramat ini terus menjadi pasar warisan dan harus dikekalkan bagi penempatan kaum Bumiputera…kira-kira 320 peniaga Bumiputeradi sini membantah untuk berpindah ke tapak pasar yang baru di Keramat Mall,” katanya.

 

Sehubungan itu, Shoid berkata persatuannya akan menghantar surat secara rasmi kepada kerajaan dalam menyelesaikan isu Pasar Keramat yang telah berlarutan sekian lama.

 

Pada 10 Jan lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan akan membina asrama pekerja atau dikenali sebagai ‘Rumah Kaunsel’ di tapak Pasar Keramat di sini dijangka bermula selepas pemindahan peniaga di kawasan itu ke Keramat Mall selesai. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.