Agama Islam Semakin Berkembang Di Jepun

Sejarah mencatatkan kedatangan Islam di Jepun bermula ketika abad ke-14 apabila Jeneral Lan Yu (Dinasti Ming) yang beragama Islam mempunyai hubungan dengan seorang pembuat pedang di Jepun. Jeneral Yu dikatakan memiliki 10,000 pedang Samurai Jepun.

 

Laksamana Zheng yang beragama Islam dikatakan singgah di Ryukyu, Jepun sekitar 1415 dan 1419.

 

Tapi catatan sejarah paling lengkap ialah kehadiran seorang pendakwah berbangsa Arab yang mengikuti kapal Portugis dari Melaka pada 1555. Beliau dikatakan mengislamkan ramai penduduk Jepun.

 

Pada 1870, sejarah hidup Nabi Muhammad SAW ditulis dalam bahasa Jepun dan ini memudahkan penduduk negara itu memahami cara hidup Baginda dan Islam amnya.

 

Pada abad ke-19, seorang warga Indonesia yang bekerja di kapal milik British dan Belanda dikatakan banyak berdakwah dan menyebarkan Islam di Jepun.

 

Rakyat Jepun pertama yang menunaikan fardu haji di Makkah ialah Kotaro Yamaoka yang memeluk Islam pada 1909. Dengan bantuan seorang penulis kelahiran Russia, Abdurresid Ibrahim, Kotaro yang menggunakan nama Islam, Omar Yamaoka menyebarkan Islam kepada penduduk Jepun selepas pulang dari Tanah Suci.

 

Ramai penduduk Jepun dikatakan memeluk Islam selepas tinggal di negara Islam dan apabila kembali ke Jepun, mereka melakukan kerja dakwah, antaranya Bunpachiro Ariga yang menggunakan nama Islam Ahmed Ariga dan Yamada Toajiro (Abdul Khalil).

 

Kehadiran ramai pendatang dari Turki Tatar di Tengah Asia dan Russia turut menyemarakkan perkembangan Islam di Jepun. Kerajaan Jepun dikatakan menerima kehadiran mereka yang melarikan diri selepas berlaku Revolusi Oktober di Turki.

 

Pada 1938, 600 pelarian Turki datang ke Jepun dan menetap di beberapa wilayah di negara itu dan membentuk komuniti Islam. Ramai penduduk Jepun belajar dan memeluk Islam melalui pelarian terbabit.

 

Kini, Islam bukanlah suatu agama yang baru bagi penduduk matahari terbit itu malah daripada 128 juta penduduk Jepun, 10 peratus beragama Islam.

 

Di Jepun terdapat beberapa masjid bagi menampung peningkatan umat Islam di negara itu, antaranya Masjid Kobe dan Masjid Tokyo.

 

Masjid Kobe dibina pada 1936 berikutan kehadiran ramai pelarian dari Turki. Begitu juga dengan Masjid Tokyo yang siap pembinaan pada 1938 hasil sumbangan derma dari negara Arab dan Turki. Imamnya yang pertama ialah Abdurresid Ibrahim.

 

Liga Islam Jepun yang ditubuhkan pada 1930 adalah pertubuhan Islam terbesar di negara terbabit dan banyak membantu menyebar Islam melalui risalah, buku, audio dan ceramah. Liga itu menerbitkan 100 buku dan jurnal mengenai Islam.

 

Seorang sarjana Jepun, Shumei Okawa antara watak penting dalam perkembangan Islam di negara itu. Beliau yang ditahan Tentera Bersekutu ketika Perang Dunia Kedua, sempat mengalih bahasa al-Quran ke bahasa Jepun.

 

Pengarah Pemasaran (Asia) Jabatan Promosi Pelancongan Jepun, Akito Tadokoro, berkata perkembangan Islam di negara itu berlaku dengan cepat berikutan kemasukan ramai pekerja asing terutama dari Indonesia, Malaysia dan Timur Tengah.

 

Beliau berkata, polisi kerajaan Jepun tidak melarang sebarang kegiatan keagamaan asalkan tidak menjurus kepada keganasan dan memberi kemudaratan kepada penduduknya.

 

“Malah, sempena Jepun menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020, kerajaan mahu menarik seramai mungkin pelancong dari negara Islam datang ke sini.

 

“Justeru, pelbagai kemudahan disediakan kepada pelancong Islam seperti tempat bersolat, makanan halal dan info mengenai kiblat serta masjid.

 

“Kami menyediakan kemudahan solat di lapangan terbang untuk memudahkan umat Islam melakukan ibadat solat,” katanya.

 

Katanya, kehadiran ramai pelancong Islam termasuk dari Malaysia membuka mata penduduk tempatan mengenai Islam.

 

“Dulu, kami keliru kenapa perlu menyediakan tempat khas untuk beribadat, begitu juga dengan makanan halal.

 

“Bagi kami itu sesuatu yang baru kerana anda melakukan solat lima kali sehari dan makanan halal ialah tidak bercampur dengan alkohol serta babi selain disediakan mengikut peraturan agama Islam,” katanya.

 

Menurutnya, beberapa pasar raya besar di Tokyo turut menyediakan kemudahan solat dan tempat wuduk untuk pelanggan beragama Islam, antaranya pusat membeli-belah Shinjuku Takashimaya setinggi 12 tingkat dan pasar raya AEON.

 

“Hotel Springs Makuhari di Chiba turut menyediakan makanan halal kepada pelanggan beragama Islam.

 

“Kami perlu mempelajari mengenai Islam bagi memahami apa yang orang Islam mahukan,” katanya.

 

Layari www.gotokyo.org atau www.ana.co,jp atau www.halalmedia.jp untuk maklumat lanjut.

 

Masjid Camii mengagumkan

 

Dalam suasana hening dan kedinginan di Shibuya, Oyamacho, beberapa puluh meter dari pusat bandar Shinjuku dan Harajuku, tersergam menara yang tinggi menjulang ke langit yang membuatkan sesiapa saja memandang kagum.

 

Inilah Masjid Camii (Jamek), masjid terbesar di Jepun yang dibina menggunakan gaya seni bina Turki. Ia sering dikaitkan dengan seni bina gaya Ottoman iaitu Masjid Biru di Istanbul, Turki.

 

Percaya atau tidak, terdapat 80 masjid di Jepun dan boleh ditemui di kebanyakan bandar besar di Jepun sehingga mengejutkan penduduk negara matahari terbit itu.

 

Ini membuktikan perkembangan Islam semakin pesat di Jepun terutama Tokyo yang dianggap bandar raya industri moden dan automobil.

 

Selain digunakan untuk solat waktu dan Jumaat, Masjid Camii sering dikunjungi pelancong untuk melihat seni bina yang mengagumkan. Ketika masjid itu dibina, sebahagian besar bahan mentah dibawa dari Turki.

 

Penduduk Jepun sendiri kagum dengan seni bina Masjid Camii dan secara tidak langsung mereka mendekati rumah Allah itu untuk mendapat lebih banyak maklumat, bukan saja mengenai masjid, tapi Islam.

 

Masjid Camii menjadi pusat kebudayaan dan penyebaran dakwah Islam kepada penduduk tempatan kerana ia tidak membataskan sesiapa saja yang mahu mengunjungi kawasan sekitar masjid itu.

 

Imam Masjid Camii, Nurullah Ayaz datang ke Jepun pada musim panas 2012 selepas mempelajari bahasa Jepun selama lima tahun di Universiti Turki.

 

Dari situ beliau banyak belajar mengenai cara hidup dan kaedah untuk mendekati masyarakat Jepun yang terkenal dengan disiplin dan seni budaya.

 

Seorang pegawai di Masjid Camii Tokyo, Bilal Mohammad Shamim berkata, masjid itu menjadi tempat ibadat dan pusat ilmu bagi umat Islam di Tokyo.

 

Beliau berkata, setiap solat Jumaat, ia boleh memuatkan sehingga 800 jemaah selain mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan seperti majlis berbuka puasa, Aidilfitri dan dan Aidiladha.

 

Malah, masjid itu sering digunakan sebagai pusat untuk mengadakan ceramah, konvensyen selain memaparkan pelbagai artifak yang berkaitan dengan Islam terutama dari Turki.

 

“Alhamdulillah, masjid ini memberi banyak kemudahan kepada umat Islam di Jepun untuk beribadat dan melakukan pelbagai aktiviti lain berkaitan agama.

 

“Malah, ramai penduduk Jepun turut datang untuk melihat seni bina masjid ini yang mereka anggap luar biasa dan mengagumkan.

 

“Masyarakat Jepun terlalu teliti mengenai elemen seni, tetapi mereka memuji seni bina masjid ini dan dari situ mereka turut ingin tahu mengenai Islam,” katanya.

 

Hasil dari perbincangan dan diskusi, ramai penduduk Jepun tertarik kepada Islam yang mengamalkan konsep kesederhanaan, malah di tingkat bawah masjid ini, katanya, mereka menyediakan ruang pameran mengenai tamaddun Islam dan kitab-kitab lama serta sejarah Nabi Muhammad.

 

Katanya, masjid itu yang terletak dalam kawasan penempatan penduduk juga menjadi contoh kepada masyarakat Jepun.

 

“Jika ada sebarang aktiviti, kita juga sering menjemput masyarakat Jepun untuk hadir dan melalui pergaulan serta pertukaran maklumat, kami dapat melakukan kerja dakwah dengan lebih mudah.

 

“Syukur kerana pemerintah Jepun tidak melarang sebarang aktiviti keagamaan asalkan ia tidak mengandungi unsur keganasan, justeru kami selesa mengembangkan Islam melalui masjid ini,” katanya.

 

Masjid itu turut menerima derma daripada pelbagai pertubuhan Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

“Kami juga menyediakan kelas agama kepada anak-anak seperti membaca al-Quran selain pelajaran fardu ain dan kifayah.

 

“Mereka turut dihantar melanjutkan pengajian Islam di Turki atau tempat lain jika mendapat jemputan,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.