Kerajaan Pasca PRU15 Dilabel Luar Tabii Demokrasi – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa penubuhan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah di luar tabii demokrasi yang sebenar bersama penipuan yang nyata dengan mengumpulkan semua kumpulan penipu, penyangak dan oportunis.

Tegas Hadi, saksikan gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam dalam PRU15 baru-baru ini yang telah memenangkan Perikatan Nasional (PN).

“PAS secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang dianggap mentah itu telah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam, sehingga mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.

“Ketika itu, dipaparkan sokongan para profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda. Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan janji bohong yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai.

“Semua tawaran tersebut ditolak oleh anak muda yang ditipu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dan sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15. Sehinggakan, pencapaian kerusi mereka (PH) bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih makan garamnya,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, peekara yang paling penting apabila anak muda mendapat petunjuk Allah untuk menunaikan kewajipan mengundi yang menjadi jihad fardu ‘main, bukan lagi fardu kifayah kerana Islam dan umatnya diancam.

“Adapun kalangan mereka yang tua pula tidak menunaikan kewajipan yang besar ini kerana merasakan ia tidak penting, disebabkan jahil murakkab setelah dikatakan negara ini sudah merdeka lebih setengah abad.

“Kini, umat Islam di seluruh dunia sedang dihalang kebangkitannya semula untuk berkuasa dengan berbagai-bagai fitnah dan penipuan bagi menghalang Islam dan umatnya yang berdaulat.

“Apabila Islam itu berkuasa memerintah negara yang adil kepada semua, maka pasti akan wujud kerajaan yang bersih daripada segala penyakit rasuah, salah urus dan lain-lain dengan beriman dan berakhlak bukan sahaja berilmu, kerajaan yang ditolak oleh mereka itu,” kata beliau.

Ujar Hadi, Islam tetap dihalang di mana sahaja di seluruh dunia, walaupun telah memilih pendekatan demokrasi yang dikira sinonim dengan Islam. Namun, demokrasi ala Barat hakikatnya mengharamkan Islam berkuasa semula.

“Alasan di sini kerana PAS mendapat kerusi paling banyak, walaupun PAS sedia berta‘awun dengan semua kumpulan yang tidak ekstrem.

“Maka, terciptalah satu kumpulan Ahzab (barisan, parti dan kumpulan) yang berbeza ideologi dan niat yang tidak ikhlas, bersatu untuk menentang Islam yang pernah dihadapi oleh generasi awal dengan penuh keimanan,” bidasnya.

Tambah beliau, walaupun kumpulan yang berpenyakit itu sedang berkuasa dengan segala tipu dayanya, namun Allah berjanji akan menamatkannya setelah diberikan tempoh bertaubat yang cukup.

“Meskipun anak muda telah dikecewakan, kita mengharapkan mereka tidak berputus asa dan menyerah kalah kerana ujian Allah adalah untuk melakukan suatu perubahan yang terbaik di bawah kuasa-Nya,” kata Hadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat