Tiada Persengketaan Jika Fahami Konsep Federalisme

KUALA LUMPUR: Sebarang perbezaan pandangan di antara institusi Raja dengan pihak Eksekutif boleh ditangani jika semua pihak memahami konsep sebenar federalisme.

Pemahaman terhadap bidang kuasa Persekutuan yang membabitkan Senarai Negeri Persekutuan dan Senarai Bersama harus dihayati bersama pihak Eksekutif di Pusat dan negeri serta Raja-raja bagi mengelak salah faham.

Penganalisis politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata dalam semangat Raja Berperlembagaan, seorang Sultan atau Raja seharusnya memahami dan mematuhi ‘protokol’ yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, jika pihak istana, Sultan atau Raja tidak berkenan dengan sesuatu perkara membabitkan urusan Eksekutif, mereka boleh memanggil pihak Eksekutif secara tertutup untuk menyuarakannya, bukan menerusi kenyataan terbuka.

“Dalam konsep Raja Berperlembagaan, seseorang Sultan atau Raja tidak dibolehkan mengeluarkan kenyataan terbuka yang menyentuh soal negara atau bidang urusan pihak Eksekutif dalam mana-mana medium.

Bincang secara tertutup

“Pihak istana masih boleh berbincang, mendapatkan pandangan dan memberikan nasihat yang wajar kepada Eksekutif tetapi secara tertutup, bukan terbuka bagi memelihara prinsip Raja Berperlembagaan.

“Namun dalam urusan membabitkan hal ehwal agama Islam dan orang Melayu, ia masih berada di bawah kuasa Sultan atau Raja. Namun ia mesti dalam konteks yang jelas dan baginda masih perlu menitah Eksekutif untuk menghadap supaya titah baginda dapat dilaksanakan,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas laporan sebelum ini berhubung perbezaan pandangan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikutan kritikan baginda terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata Perlembagaan tidak melarang kerajaan negeri atau Persekutuan memberikan kenyataan mengenai apa-apa isu, asalkan bukan dalam bentuk campur tangan kepada bidang kuasa masing-masing.

Katanya, campur tangan berlaku apabila kerajaan Persekutuan memberikan arahan kepada kerajaan negeri untuk bertindak dalam perkara yang terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri seperti urusan agama Islam.

“Secara umumnya, kedua-dua tokoh pemimpin berkenaan amat dihormati rakyat dan mempunyai peranan serta kedudukan yang penting dalam negara.

Boleh rosakkan keharmonian

“Rakyat amat mengharapkan perbezaan pandangan dan sikap ini tidak mencetuskan suasana tidak selesa dalam kalangan rakyat, khususnya di antara pihak istana dan pemimpin politik dalam kerajaan.

“Jika wujud hubungan tidak baik antara pihak istana Johor, khususnya Tengku Mahkota Johor dan pemimpin politik nombor satu iaitu Tun Dr Mahathir, maka ia boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rak-yat.

“Oleh itu, kita amat mengharapkan situasi ini dapat diselesaikan dengan pertemuan secara bersemuka bagi mengelakkan jurang komunikasi yang mungkin wujud,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.