Tentera Indonesia Bermaharajalela Dalam Hutan Sempadan Malaysia

TENTERA Nasional Indonesia (TNI) dipercayai sudah lama ‘bermaharajalela’ mengugut penduduk Kampung Danau Melikin, di Serian sekiranya mereka terserempak di dalam hutan ketika mengutip hasil hutan dan memotong kayu.

Sumber memberitahu NSTP, pengakuan itu disuarakan seorang penduduk dalam majlis randau semalam yang dianjurkan beberapa agensi kerajaan bagi meredakan kegelisahan susulan insiden penculikan lima rakyat negara ini, 11 Disember lalu.

Katanya, tidak hanya wang tunai, segelintir anggota tentera negara jiran turut memeras penduduk bagi mendapatkan pelbagai barangan lain seperti wang tunai dan gergaji balak sebagai ‘pelincir’ jika mahu ‘dilepaskan’ dari sebarang tindakan.

“Penduduk mendakwa tentera negara jiran meminta RM200 selain mesin gergaji balak bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan ke atas rakyat negara ini kerana kononnya ‘didakwa’ menceroboh hutan negara berkenaan.

“Penduduk berharap kejadian sama tidak kembali berulang dan pihak berkuasa khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa untuk mewujudkan pos kawalan sempadan berhampiran kampung berkenaan.

“Jika kejadian sama berlaku kepada rakyat negara mereka, sudah pasti pelbagai tindakan yang lebih agresif namun apabila berlaku kepada rakyat negara ini, kejadian ini mahu disenyapkan pihak tertentu,” katanya.

Majlis randau semalam dihadiri penduduk Kampung Danau Melikin bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai keadaan terkini sempadan berhampiran kampung berkenaan sekali gus meredakan kegelisahan dan ketakutan kerana bimbang kejadian sama kembali berulang.

Dalam kejadian 11 Disember lalu, empat lelaki tempatan sedang memotong kayu bagi menyiapkan rumah panjang mereka di Hutan Wong Rangkai yang terletak 400 meter dari sempadan Sarawak-Kalimatan Barat, Indonesia sebelum didatangi dua lelaki berpakaian seragam TNI yang lengkap bersenjata.

Kejadian itu menjadi mimpi ngeri kepada mangsa yang berusia 15 hingga 64 tahun apabila ada di antara mereka didera dan dipukul kerana dipaksa mengaku mencuri kayu dari hutan negara berkenaan.

Bukan itu saja, pihak tentera berkenaan juga didakwa meminta mangsa menyediakan wang tunai RM10,000 bersama mesin gergaji balak selain menahan sebuah Toyota Hilux digunakan untuk mengangkut kayu sekiranya mahu dibebaskan.

Malaysia menerusi Kementerian Luar Negara menghantar Nota Diplomatik kepada Jakarta mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera negara berkenaan kepada rakyat Malaysia. – HMetro

One thought on “Tentera Indonesia Bermaharajalela Dalam Hutan Sempadan Malaysia

  • January 7, 2019 at 9:05 am
    Permalink

    Jika benar kerajaan dgn agensi ATM diminta dirikan pos kawalan sekitar kg ni??
    Untuk keselamatan rakyat ??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.