“Saya Akan Terus Bersuara”, Azmin Pertahan Tindakannya Persoal Lantikan MPP PKR

KAJANG – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan tindakannya baru-baru ini yang mempersoalkan pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti oleh presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya akan terus bersuara sama ada di dalam atau di luar parti kerana menjadi tugas saya sebagai Timbalan Presiden,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Simfoni Rumah Selangoku di sini, hari ini.

Bagaimanapun Azmin menjelaskan, tindakannya itu adalah mengikut saluran yang ditetapkan parti.

“Saudara kena tahu saya jarang keluarkan kenyataan atau membuat sebarang kenyataan politik. Jadi apabila saya mengeluarkan kenyataan, (memang) ada masalah.

“Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak mengikut saluran yang betul. Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, saya ada berbincang dengan presiden parti,” katanya. 

Anwar pada 28 Disember lalu mengumumkan pelantikan beberapa jawatan MPP yang menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilantik sebagai salah seorang Naib Presiden, di samping Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.

Selain jawatan Naib Presiden, Anwar turut mengumumkan pelantikan Jawatan Setiausaha Agung yang mana menyaksikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dikekalkan, manakala Lee Chean Chung sebagai bendahari agung yang baharu.

Ketua penerangan dan setiausaha pengelola parti masing-masing diserahkan kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Anwar turut melantik enam anggota baru MPP. 

Bagaimanapun pengumuman Anwar itu mengundang reaksi kurang senang Azmin.

Secara terbuka, Azmin menggesa agar PKR mengubah senarai pelantikan itu supaya lebih adil dan profesional bagi mencerminkan hasrat ‘semangat musyawarah’.

Tanpa menyebut nama atau jawatan, kecuali setiausaha agung, Azmin menyeru Anwar melantik ‘berdasarkan merit dan bukan imbuhan atau sogokan politik’.

Dalam perkembangan berasingan, Azmin berkata, beliau tidak tahu menahi mengenai kewujudan cubaan untuk mensabotaj Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

“Pada pandangan saya persefahaman dalam Pakatan Harapan (PH) ialah Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat jadi Perdana Menteri dan selepas itu diteruskan oleh Anwar. Persefahaman ini masih kekal,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.