Pendeposit TH Utus Warkah Terbuka Buat Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Selepas AJK PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyelar Rafizi Ramli susulan tindakan Naib Presiden PKR itu yang ‘menyerang’ Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu skandal kewangan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), terbaru seorang individu turut tampil mempertahankan pemimpin parti Islam itu.

Menerusi warkah terbuka kepada Rafizi, lelaki itu, Abdul Rahim Hilmi Zakariya yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang  pendeposit tetap TH sejak 1990, menampilkan ‘hujah-hujah’ terhadap dakwaan skandal TH yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PKR itu.

“Saudara menyebut bahawa TH mengalami kerugian pelaburan RM549 juta yang mana sebahagian besarnya adalah daripada penyelewengan.

“Jawapan: Saudara, penyelewengan apa? Pelaburan mana? Anak syarikat mana yang terlibat? See, inilah contoh ‘media trial’ yang kami meluat dari dahulu hingga sekarang. Kalau ada penyelewengan, mana dakwaan dan keputusan mahkamahnya? Sejak bila saudara jadi hakim?,” soalnya dalam warkah yang disiarkan di portal Harakahdaily.

Beliau turut menampilkan hujah terhadap kenyataan Rafizi yang menyebut keuntungan penjualan Bank Islam (BIMB) oleh TH sebanyak RM533 juta sebagai helah perakaunan. 

“Saudara, faham ke tidak walaupun beli semula, pegangan saham TH ke atas BIMB meningkat kepada 53.4% (sebelum ini 51%). Benda ni semua recorded dan kita patut puji TH sebab berjaya naikkan pegangan mereka selepas buat pelaburan kali ke-2 dalam BIMB,” hujahnya.

Beliau juga mengulas dakwaan Rafizi yang mengatakan TH tiada pendapatan susulan dividen RM436 juta anak syarikat kepada TH belum dibayar setakat 30 September 2018.

“Jawapan: Saya tak berapa faham dengan pendirian saudara dalam isu ini. Dividen itu, apa jadi pun perlu dibayar sebab TH ada pegangan. 

“Soal belum dibayar itu bukannya penyelewengan dari TH. Yang pengurusan baru perlu lakukan adalah meminta anak-anak syarikat tersebut untuk bayar segera kepada TH. Kenapa pendirian saudara ni pelik?,” katanya lagi.

Rafizi baru-baru ini membidas Abdul Hadi dan mendakwa Ahli Parlimen Marang itu bermain politik apabila membuat ulasan bersabit skandal itu yang didakwa mempunyai agenda tersirat untuk menjatuhkan imej Islam. 

Kata Rafizi, Hadi terpaksa bermain politik dan mengheret sentimen perkauman kononnya ada agenda bukan Islam mahu ‘memangsakan’ TH, yang dilakukannya akibat satu strategi politik yang telah gagal menjelang PRU14 lalu. 

“Pendirian Tuan Guru Haji Hadi hanyalah mahu agar segala skandal ini (jika ada) dibicara dan diselesaikan di mahkamah dan bukannya di media bagi menjaga imej TH. Jadi di mana salahnya?,” kata Abdul Rahim menjelaskan maksud ulasan Presiden PAS itu.

Dalam pada itu kata Abdul Rahim, selaku pemimpin tertinggi sebuah parti dalam kerajaan, Rafizi seharusnya mencerminkan langkah wajar dengan memulihkan keyakinan pendeposit terhadap TH melalui sokongan terhadap apa-apa proses undang-undang dan siasatan, bukannya membuat ‘pendakwaan secara media’. 

“Saudara ada banyak kerja. Pujuk Izzah, pastikan DSAI (Anwr Ibrahim) jadi PM sebagai contohnya. Banyak. Tapi berpolitik dalam media sosial bukan salah satu daripadanya,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!