Pakatan Harapan Tak Pandang Rendah BN Di Cameron Highland

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah kekuatan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Bahkan kata Ketua Sekretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah parti itu menghormati BN kerana pertembungan mereka pada PRK Cameron Highlands 26 Januari ini disifatkannya ‘unik’ memandangkan ia PRK pertama diadakan di kawasan yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Bukan hanya (Parlimen Cameron Highlands) dimenangi BN sebelum ini, tetapi ini juga kali pertama kita berdepan PRK di negeri yang masih di bawah pentabiran BN selepas PRU14.

“Pada dua PRK di Selangor dan PRK Parlimen Port Dickson lalu, pentadbiran negeri dan Putrajaya adalah di bawah PH. Jadi kami melihat ini sebagai pertembungan yang menarik minat ramai orang,” katanya.

Beliau menambah PH juga tidak memandang rendah kekuatan BN di Cameron Highlands kerana peratusan pengundi Orang Asli yang agak besar di situ, memerlukan mereka mengatur strategi tersendiri.

PH juga akan memberi tumpuan kepada pengundi atas pagar kerana golongan ini dilihat sebagai pihak penentu pada PRK Cameron Highlands, katanya.

“Kerisauan kita pada PRK Cameron Highlands adalah peratusan keluar mengundi kerana ada waktunya peratusan keluar mengundi adalah rendah pada PRK. Bagaimanapun semua parti dalam PH sudah sepakat untuk bertugas sepenuh masa bagi membantu kemenangan calon,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lalu, yang membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh ekoran berlaku unsur rasuah pada PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Januari ini sebagai hari penamaan dan pada Jumaat lalu, Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Naib Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran sebagai calon mereka pada PRK tersebut.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.