Maszlee Akhirnya Lepas Jawatan Presiden UIAM

KLUANG: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengesahkan sudah meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lapor Bernama.

Menurut Maszlee, surat peletakan jawatan telah pun ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi universiti berkenaan.

“Saya kini bukan lagi presiden UIAM, surat peletakan jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.

“Peletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya.

Untuk rekod, Maszlee mula menyandang jawatan itu pada September tahun lalu  dan sepatutnya berakhir pada tahun 2021.

Dalam pada itu beliau berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya itu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Simpang Renggam itu enggan mengulas tarikh sah peletakan jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu yang bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM Dr Mohd Daud Bakar.

Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kerajaan dan pimpinan parti telah memutuskan agar Maszlee meletakkan jawatan itu.

Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ke-7 setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Beliau menggantikan Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Bagaimanapun, pelantikan itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk daripada aktivis mahasiswa. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.