Inkues Perlu Selesai Cepat – Ibu Allahyarham Adib

KUALA LUMPUR – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dilaksana dengan teliti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Jelasnya ia adalah demi memastikan tiada sebarang kelompangan dan mengelakkan isu ini dipolemikkan oleh pihak tertentu.

“Prosedur inkues adalah yang terbaik, sebelum ini pun arwah sudah diberikan rawatan terbaik…kita bersyukur keluarga setuju lakukan post-mortem (bedah siasat) jadi semua laporan dah ada.

“Biasanya inkues ambil masa sebulan tetapi mungkin dapat diselesaikan lebih cepat apabila semua maklumat yang diperlukan lengkap,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Menurut Zuraida, pada inkues pertama yang akan dijalankan di Mahkamah Koroner pada 18 Januari ini, semua saksi akan dipanggil termasuk doktor yang merawat dan pihak forensik yang melakukan proses bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

“Pada peringkat awal seramai 20 saksi telah dipanggil untuk beri keterangan dan dalam perkembangan terbaharu saya dimaklumkan ada saksi baharu yang akan dipanggil untuk bantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Cara III Datuk Mohd Hanafiah Zakaria berkata pihak Jabatan Peguam Negara telah memfailkan dokumen kes di Pejabat Pendaftar Mahkamah Shah Alam dan pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib juga telah ditetapkan pada 18 Januari.

Sementara itu, ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 51, berharap proses inkues dapat dijalankan dan diselesaikan dengan cepat selain ingin melihat muka pelaku-pelaku yang tergamak memukul anaknya itu.

“Saya harap pelaku dapat ditahan dengan cepat, kalau susah tangkap sahaja dalangnya kalau tak dapat tangkap yang bawah-bawah. Apa pun saya terima ketentuan Ilahi dan sentiasa teringat anak dan setiap hari selepas solat Subuh saya dan suami akan pergi ziarah kuburnya,” katanya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.