Henti Gerakan Desak Zahid Berundur

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO meminta agar gerakan dalam parti yang mahu menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden dihentikan.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub menerusi kenyataan berkata, berdasarkan perlembagaan parti Zahid masih Presiden yang sah. 

 Justeru tidak wajar untuk menggesanya apatah lagi beliau telah pun menyerahkan tugasnya untuk dijalankan oleh Timbalan Presiden Datuk Mohamad Hasan secara sementara.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah semua kepimpinan bahagian berhenti mempersoalkan kewajaran Ahmad Zahid untuk berhenti atau mengadakan sebarang usaha untuk memaksa Ahmad Zahid supaya berundur.

“Sebaliknya, mereka hendaklah memberi kerjasama dan sokongan padu kepada (timbalan presiden) Mohamad Hasan yang diberi tugas untuk menjalankan tugas-tugas presiden.

“Veteran UMNO yakin beliau mampu menerajui parti sekiranya semua ketua bahagian dan anggota parlimen UMNO yang masih ada memberi sokongan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan wujud gerakan kumpulan yang dirancang oleh salah seorang naib presiden UMNO bagi menghapuskan pengaruh  Zahid dalam parti itu.

Kumpulan itu dikatakan mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden parti dan menyerahkan tampuk kepimpinan parti sepenuhnya kepada Mohamad yang kini menggalas tugas presiden parti.

Perkara itu  dikatakan dirancang selepas UMNO tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  Mei tahun lalu. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.