SPRM Terima Senarai Nama Calon Bakal Tanding PRU Untuk Saringan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima senarai nama calon daripada beberapa parti politik yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Tanpa mendedahkan nama parti politik berkenaan, beliau berkata senarai nama itu diberikan untuk disaring bagi memastikan calon mereka bebas rasuah atau salah guna kuasa.

“Ada (parti) yang telah serah nama dan ada yang belum, yang telah disaring kita akan beri jawapan kepada parti.

“Ini proses sukarela dan tiada paksaan dibuat … ia untuk memberi keyakinan kepada rakyat terhadap calon yang dikemukakan untuk menjadi wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Cina di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli berkata SPRM sedang meneliti maklumat baharu yang diberi Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada badan anti rasuah itu semalam mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Jika maklumat itu mempunyai asas kita akan buka kertas siasatan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata imej bersih JKKK adalah sangat penting kerana mereka mewakili kerajaan di peringkat akar umbi.

Pada majlis itu, kira-kira 700 pemimpin Kampung Baru Cina terdiri daripada Pegawai Kemajuan Perkampungan dan barisan pegawai JKKK menandatangani IBR berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.