PKR Beri Amaran Isu Calon Perdana Menteri Akan Lemahkan PH

PULAU PINANG – PKR negeri menyifatkan polemik cadangan nama calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan yang diketuai DAP telah menyebabkan keresahan dalam kalangan penyokong mereka.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, rakyat kini melihat pembangkang sedang berebut kerusi ‘kuasa’ berkenaan sesama sendiri.

Ujarnya, suasana tidak sihat itu jika berlarutan akan melemahkan semangat penyokong dan jentera semua parti dalam pembangkang.

“Yang jelas isu pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilihat dari konteks politik semata-mata kerana ia terkait rapat dengan isu perundangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, semua pihak dalam pembangkang perlu ‘ memahami’ Perkara 43(2)(a) yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik ahli Dewan Rakyat pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan sebagai Perdana Menteri.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP kini berdepan kemelut apabila wujud pertikaian berhubung individu yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dikatakan mendapat sokongan DAP untuk jawatan berkenaan, namun ditolak ahli akar umbi PKR yang mahukan Presiden mereka, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri.

Isu berkenaan bertambah panas apabila penyokong kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mahukan Menteri Besar Selangor itu diberikan peluang berkenaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.