Nabila Gementar Berdepan Dengan Hael

KUALA LUMPUR: Meskipun membina nama bersama ketika menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia 2013, Nabila Razali mengakui masih gementar berdepan dengan teman seangkatannya, Hael Husaini.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Pematah Hati itu berkata, selepas muncul dengan tiga single, dia berhasrat merakamkan lagu duet dan Hael antara penyanyi yang diintai untuk mencapai impiannya itu.

Bagaimanapun, Nabila akur hasrat itu agak sukar dilaksanakan kerana suara mereka yang berbeza.

“Saya kagum dengan kekuatan vokal Hael. Saya pernah mendengar dia menyanyikan semula Pematah Hati dan Hael berjaya membawa lagu itu dengan cara tersendiri. Melihat kehebatan Hael, saya jadi takut untuk berduet dengannya.

“Memang langkah kami bermula menerusi laluan yang sama, tetapi saya segan kerana akur kemampuan diri. Jika bukan Hael, mungkin saya memilih Ismail Izzani kerana tahap vokal kami hampir sama,” katanya.

Penyanyi berusia 25 tahun itu berkata, dia tercabar untuk mencari lagu baharu yang mampu menyaingi Pematah Hati ciptaan bersama Hael dan Ezra Kong.

Katanya, penerimaan baik terhadap lagu itu menjadi penanda aras untuk dia berusaha keras mempertahankan namanya.

Nabila juga berharap tahun 2018 membuka lembaran untuk mengulangi pencapaian cemerlang.

“Sebelum ini, saya berazam untuk dikenali dan Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan tahun lalu. Untuk tahun 2018, saya ingin memperbaiki banyak aspek, terutama meningkatkan kualiti vokal dan persembahan.

“Ketika awal bertapak, ramai yang meragui kemampuan saya sebagai penyanyi. Syukur kerana persepsi itu sudah mula berubah dan saya perlu berani mencabar diri. Saya dan pengurusan sedang merancang pembikinan single seterusnya.,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Nabila menjadi pilihan usahawan dan penyanyi, Datuk Seri Aliff Syukri untuk menghiasi kempen tudung keluarannya yang bakal dipasarkan tidak lama lagi bersama empat personaliti wanita lain.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.