Lelaki Menyamar Polis dan Culik Remaja Perempuan Berjaya Ditahan

KUANTAN – Seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai polis dan melarikan remaja perempuan berusia 17 tahun di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub pada 27 Disember lalu, berjaya ditahan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata lelaki berusia 32 tahun berasal dari Bentong itu ditahan kira-kira jam 2 pagi di sebuah hotel di Ipoh, Perak.

Katanya, turut dirampas sebuah kereta PROTON Satria, kunci kereta, sepucuk pistol bersama kelopak peluru palsu, dua telefon bimbit dan wang tunai RM100.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan direman empat hari sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 363 dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menculik serta menyamar sebagai penjawat awam.

“Siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah di Mentakab di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Brinchang Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Pekan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (mencuri kenderaan).

“Suspek juga mempunyai rekod kesalahan di negeri lain iaitu Bakri, Johor iaitu menyamar sebagai penjawat awam (Seksyen 170 Kanun Keseksaan); Chukai, Terengganu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan mencuri kenderaan di Kuala Lumpur yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 27 Disember lalu, seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas dikatakan dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di depan rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub.

Remaja berkenaan ditemukan selamat dua hari kemudian selepas pulang menaiki bas berseorangan dari Kuala Lumpur ke Raub sebelum diambil anggota polis bagi membantu siasatan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.