Keluar Cecair Di Hidung, Mulut

TAIPING – Pendakwah terkenal, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau dikenali Ustaz Wadi Anuar, 35, dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini bagi menjalani rawatan lanjut.

Beliau dilaporkan masih berada di bawah tahap kritikal selepas terbabit dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama tiga penceramah agama lain di KM200.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), kelmarin.

Turut parah dalam nahas itu, Mohd Murtadzo Mohd Yusoff, 31, yang sehingga kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

Sementara dua lagi penumpang iaitu, Muhd Hambali Zulkifli, 28, serta ayah kepada Mohd Murtadzo, Mohd Yusoff Ahmad, 62, telah dibenarkan keluar hospital, semalam selepas hanya mengalami cedera ringan.

Adik kepada Mohd Murtadzo, Mohamad Yaakub Yusra, 27, berkata, Ustaz Wadi Anuar memerlukan rawatan lanjut bagi mengesan kemungkinan berlakunya pendarahan selepas difahamkan keluar cecair di hidung dan mulut, lewat petang semalam.

Sementara abangnya, masih belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan.

“Harapan sekarang semoga kedua-dua ustaz terus diberikan kekuatan, kita doakan semuanya dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi, petik Sinar

Semalam dilaporkan, empat guru agama termasuk seorang tokoh penceramah terkemuka cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas dalam kejadian kemalangan di Kilometer 200.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini lewat petang Khamis.

Mohamad Yaakub dipetik berkata, ketika kejadian, jalan licin dan kedua-dua beg udara kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka tidak berfungsi menyebabkan penumpang di bahagian hadapan mengalami cedera yang agak teruk, terutama di bahagian kepala.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.