Jenama Solo Camila Cabello

Selepas membulatkan hasrat untuk mengundurkan diri daripada kumpulan vokal berkumpulan wanita popular, Fifth Harmony pada Disember 2016, radar kehidupan pemilik nama lengkap Karla Camila Cabello Estrabao berubah secara drastik.

Ada dalam kalangan peminat atau pengkritik muzik melabel dirinya sebagai seorang yang lupa daratan atau menonjolkan sisi ‘gadis liar’ sejak pengunduran tersebut. Bagaimanapun, tidak kurang juga yang memuji perjalanan kerjaya solo gadis berusia 20 tahun itu.

‘Jiwa’ solo Cabello disifatkan lebih memberikan impak berbanding ketika bersama kumpulan yang masih dianggotai empat jelitawan iaitu Ally Brooke, Normani Kordei, Dinah Jane dan Lauren Jauregui itu.

Biarpun ramai meramalkan bahawa kerjaya muziknya hampir berkubur selepas perpisahan dengan kumpulan yang dikategorikan sebagai ‘Destiny’s Child alaf baharu’ itu, ironi, Cabello kini antara bintang muda paling bersinar dengan beberapa single solo ‘membunuh’ termasuk yang terkini, Havana.

Pasca pengunduran
Menyelak muka surat awal ketika pengundurannya daripada 5H, berlaku untaian drama yang sedikit sebanyak memercik warna putih mahupun gelap dalam kamus Cabello yang dilahirkan di sebuah bandar di Cuba dikenali sebagai Cojímar, Eastern Havana.

Pada ketika itu, kumpulan tersebut dan Cabello seperti bermain tarik tali siapa yang sebenarnya bersalah dalam hal tersebut. 5H melalui satu kenyataan menuduh pengunduran Cabello kurang sopan kerana tidak melalui perbincangan yang sewajarnya.

Tidak hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh, pelantun lagu Bad Things itu menyelar tuduhan tidak berasas kumpulan tersebut dan mendedahkan sudah berbincang untuk ‘keluar’ daripada kumpulan bersama beberapa kali. 5H kemudian membalas Cabello enggan berbincang lebih lanjut dan secara terperinci mengenai niatnya itu.

Pergeseran itu semakin terungkai apabila Cabello sendiri meluahkan dia tidak melihat masa depan yang cerah andai terus bersama kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Worth It itu.

“Saya ingin membikin muzik sendiri dan 5H tidak melambangkan ekspresi maksimum saya sebagai secara individu. Tujuan saya menggubah dan menulis muzik adalah untuk membuktikan jiwa seni dan keberanian saya dalam berkarya.

“Saya akan tetap menyokong dan mengucapkan selamat berjaya kepada 5H. Saya gembira mereka meneruskan perjalanan kumpulan tersebut. Saya tidak sabar untuk mendengar muzik baharu mereka dan juga percubaan solo yang mahu dilakukan,” kata Cabello dalam satu wawancara bersama majalah Seventeen.

Sementara itu, dalam satu wawancara bersama majalah Billboard, Cabello seperti tidak mahu memadamkan api kemarahannya.

Ditanya sejak bila ‘hubungan baik’ dengan kumpulan itu mula berubah, jawab Cabello: “Saya tidak tahu. Saya sentiasa bersikap terbuka dan mengikut kata hati serta sentiasa memberi dorongan kepada ahli kumpulan lain untuk buat apa yang mereka suka.

“Dalam mana-mana kumpulan, pasti akan wujud masalah atau salah faham. Saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan cerita pergaduhan bersama 5H. Bagi saya, ia sudah berakhir dengan aman. Saya hormat dan sayangkan mereka.”

Havana, album debut
Buat mereka yang masih asing dengan muzik Cabello, dia bukan sahaja seorang penyanyi yang mempunyai bakat nyanyian luar biasa. Wanita itu juga seorang pemuzik yang komited terhadap hasil kerjanya.

Single solo paling mencetus fenomena berjudul Havana adalah satu kejayaan global yang barangkali membuatkan ahli-ahli 5H ‘ternganga’ .

Masakan tidak, single ciptaan bersama dengan Pharrell Williams dan Frank Dukes itu diinspirasikan daripada bandar kelahirannya bernama Havana, Cuba. Berkisar tentang budaya masyarakat Cuba, lagu tersebut pantas meroket di tangga teratas carta Billboard Hot 100.

“Havana adalah sebuah lagu yang penuh emosi dan bersifat ‘gelap’. Seronok dapat bekerja dengan Pharell. Ia adalah sebuah lagu tentang saya jatuh cinta dengan seorang lelaki nakal yang berasal dari Havana.

“Sejujurnya, ramai yang meragui pilihan saya sebelum lagu itu dirilis sebagai single. Mereka mengatakan ia tidak akan berjaya di corong radio atau ‘oh ia klise seperti lagu-lagu lain yang sudah ada di pasaran’,” ujarnya yang berulang-alik dari Havana ke Mexico sewaktu kecil sebelum menetap di Miami, Amerika Syarikat (AS).

Menjelaskan tentang dua karakter berbeza dalam klip video Havana yang sudah mencecah jumlah tontonan melebih 400 juta di YouTube, jawab Cabello: “Karla dan Camilla mewakili dua bahagian personaliti saya, tetapi Karla adalah diri saya yang sebenarnya.

“Keluarga memanggil saya Camila dan semasa mula berpindah ke AS, saya merupakan seorang yang amat pemalu dan di situ guru-guru mula memanggil saya sebagai Karla yang menggambarkan seorang gadis yang dungu dan sopan.

“Dalam hidup, saya selalu menolak diri daripada melakukan perkara yang digemari. Dari situlah saya menemui minat menari. Begitulah bagaimana saya menemui diri saya dari sudut yang lain – melalui Camila, persembahan dan muzik.”

Dilabel sebagai bintang muda paling menyerlah sepanjang tahun 2017, Cabello bakal meluncurkan album studio penuh dengan judul nama Camilla.

Melalui album tersebut, beberapa nyanyian merdu dan mengasyikkan Cabello seperti Never Be The Same, Real Friends dan All These Years sudah mula menjentik perhatian para penggemarnya.

Album yang memuatkan 11 buah trek tersebut turut melibatkan sentuhan magis daripada beberapa pemuzik hebat seperti James Abrahart, Alex Schwartz dan Ryan Tedder.

Dilabelkan sebagai antara penyanyi muda cemerlang pada tahun lalu, bekas anggota kumpulan Fifth Harmony (5H), Camila Cabello membuat pendengar kecanduan dengan single terbaharunya, Havana. Ikuti pengkongsian wanita itu tentang single tersebut dan kerjaya solonya yang semakin sukses.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.