‘Ibarat Bom Jangka Dalam Rumah Kami’

“Ibarat bom jangka dalam rumah kami,” kata Abdul Mansur Mat Yamin, 25, apabila sarang tebuan tanah ditemui di siling rumahnya di Kampung Pernu, Melaka Tengah.

Memetik laporan Metro, Mansur yang bertugas sebagai guru berkata, mereka sekeluarga menyedari kehadiran beberapa ekor tebuan di rumah pada minggu lalu.

“Kami sekeluarga ingatkan itu tebuan sesat, tetapi apabila saya periksa di luar rumah, ternampak lubang kayu dan nampak tebuan masuk ke dalam lubang itu.

Anggota APM menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan tanah. FOTO Abdul Mansur Mat Yamin
“Saya panggil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada Selasa lalu dan selepas diperiksa, mereka menemui sarang di dalam siling rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota APM terpaksa memecahkan siling rumah di bahagian ruang tamu untuk melihat keadaan sebenar sarang berkenaan.

“Kami terkejut melihat keadaan sarang yang begitu besar dan difahamkan, sarang itu sudah bertapak sekian lama.

“Mereka kemudian musnahkan sarang berkenaan menggunakan api selepas kami kosongkan rumah. Nasib baik cepat panggil APM sebelum larva jadi tebuan dewasa,” katanya.

Mansur berkata, operasi itu berakhir selama empat jam.

Rumah berkenaan dihuni keluarganya seramai 13 orang daripada dua keluarga berusia antara 1 tahun hingga 60 tahun.

Sarang tebuan yang dimusnahkan. FOTO Ihsan Abdul Mansur Mat Yamin
“Kakak ipar saya pernah terkena sengatan tebuan berkenaan minggu lalu. Nasib tidak serius sangat.

“Alhamdulillah, selepas dihapuskan sarang tebuan itu lega sedikit, tetapi bimbang juga kalau ada yang nak cari tempat sarang baru nanti,” katanya yang turut memuat naik kejadian ini di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.