GiatMARA Tawar Perkhidmatan Percuma Periksa Pendawaian Rumah Mangsa Banjir

BERA – GiatMara sedia menawarkan perkhidmatan memeriksa dan membaik pulih pendawaian secara percuma kepada mangsa banjir, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya GiatMara, yang merupakan pusat latihan kemahiran mempunyai tenaga pelatih yang berkemahiran untuk melakukan tugasan itu, dan aspek pendawaian merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian utama selepas banjir surut.

“Mereka yang mempunyai keperluan untuk menjalani pemeriksaan berkaitan pendawaian boleh berhubung dengan GiatMara dan kita akan cuba menyegerakan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Charuk Puting di sini hari ini, yang menempatkan 24 mangsa banjir daripada sembilan keluarga sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata bagi kerosakan infrastruktur asas di kampung-kampung yang terjejas banjir, ketua kampung terbabit bertanggungjawab untuk menghantar senarai kerosakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan baik pulih.

Ismail Sabri juga berkata sebagai persediaan menghadapi banjir, kementeriannya menyediakan 4,000 beg ‘perlengkapan ikhtiar hidup’ yang mengandungi barangan seperti tuala, barangan kebersihan diri dan alatan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir.

“Setakat ini kita telah mengagihkan 1,500 beg kepada mangsa banjir di Pahang dan Sabah. Agihan akan terus dilakukan di kawasan-kawasan dilanda banjir, yang dilakukan dengan kerjasama semua agensi di bawah KKLW,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera memaklumkan di daerah itu setakat ini, 141 mangsa daripada 35 keluarga terjejas akibat banjir yang ditempatkan di lima PPS. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.